E-Jamin beroperasi lima tahun tanpa kontrak: Azalina minta PKPMP beri penjelasan rasmi

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 12:21 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: E-Jamin beroperasi lima tahun tanpa kontrak: Azalina minta PKPMP beri penjelasan rasmi

KUALA LUMPUR - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) diminta memberikan penjelasan rasmi berhubung Sistem e-Jamin, yang beroperasi selama lima tahun sejak 2020 tanpa kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sistem e-jamin adalah sebuah perkhidmatan bayaran wang jaminan yang digunakan di 192 mahkamah di seluruh negara.

Azalina berkata, pengoperasian dan tadbir urus sistem itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa badan kehakiman, khususnya PKPMP.

"Saya tengok perkara yang dibawa oleh PAC itu satu teguran yang Ketua Pendaftar (PKPMP) kena jawab dan kita telah memaklumkan kepada Ketua Pendaftar, mungkin pihaknya akan buat kenyataan," katanya, lapor Bernama.

Sebelum ini, PAC melaporkan bahawa sistem e-Jamin, sebuah perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah di bawah PKPMP, telah beroperasi selama lima tahun sejak 2020 tanpa kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

Sistem yang dikendalikan oleh syarikat Dapat Vista Sdn Bhd itu didapati beroperasi tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LOI) mahupun perjanjian kontrak rasmi dengan kerajaan.

Menurut PAC, daripada baki deposit wang jaminan RM193.71 juta setakat 31 Disember 2024 dalam akaun, Dapat Vista didapati melaburkan RM130.8 juta wang berkenaan di bawah nama syarikat dan mengaut faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dapatan itu diperoleh daripada empat prosiding berhubung pengurusan sistem e-Jamin yang diadakan pada 4 November hingga 2 Disember 2025.

Mas Ermieyati berkata wang jaminan yang dibayar melalui e-Jamin turut dimasukkan ke dalam akaun komersial syarikat itu dan kegagalan memperakaunkannya ke dalam Akaun Amanah Disatukan melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Katanya PAC juga mendapati pengurusan dana wang jaminan tanpa struktur pemegang amanah, bon pelaksanaan atau insurans, meletakkan penjamin sebagai pemiutang biasa yang terdedah kepada risiko kewangan sekiranya syarikat muflis.

Selain itu, beliau berkata wujud jurang perbezaan baki sebanyak RM557,258 yang belum disahkan antara rekod sistem e-Jamin dengan penyata bank syarikat. - 7 Oktober, 2026

The post E-Jamin beroperasi lima tahun tanpa kontrak: Azalina minta PKPMP beri penjelasan rasmi appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved