Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan diberi dua bulan jawab teguran PAC berhubung e-Jamin

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 2:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan diberi dua bulan jawab teguran PAC berhubung e-Jamin Image from: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan diberi dua bulan jawab teguran PAC berhubung e-Jamin liza07/10/2026 - 14:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt – Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) perlu memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam tempoh dua bulan berhubung cadangan dan teguran terhadap sistem jaminan mahkamah secara elektronik (e-Jamin).

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Ketua Pendaftar perlu memberikan maklum balas terhadap semua cadangan yang dikemukakan jawatankuasa itu dalam tempoh berkenaan.

 

“Dalam tempoh dua bulan, mereka perlu datang kepada PAC untuk memberikan maklum balas terhadap semua cadangan yang telah diberikan,” katanya, lapor NST.

 

Azalina mahu isu e-Jamin diberi perhatian

Dalam persidangan Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut berkata Ketua Pendaftar perlu menjawab persoalan PAC berhubung sistem e-Jamin.

 

Beliau berkata, e-Jamin berada di bawah bidang kuasa mahkamah dan sebarang persoalan mengenai status semasa sistem itu perlu dirujuk kepada Ketua Pendaftar.

 

Menurutnya, Ketua Pendaftar telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan berkemungkinan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

 

PAC kemuka cadangan kawal wang jaminan

Sebelum ini, PAC mengemukakan lapan cadangan bagi memperkukuh kawalan terhadap wang jaminan, termasuk meminta PKPMP dan Kementerian Kewangan mempercepatkan rundingan dengan Dapat Vista Sdn Bhd bagi memuktamadkan perjanjian rasmi.

 

PAC turut mengesyorkan kerajaan memuktamadkan takrifan “wang awam” bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan agensi kerajaan.

 

Selain itu, PKPMP disaran membangunkan modul jaminan dalaman melalui eCourt Finance (eCF) atau e-Kehakiman bagi mengurangkan kebergantungan kepada vendor dan memastikan data dimiliki sepenuhnya kerajaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama Digital kendali eJamin tanpa kontrak rasmi 5 tahun, labur wang jaminan tanpa kelulusan — PAC

 

PAC turut meminta Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Digital memperkukuh kawalan perolehan teknologi maklumat (ICT) bagi mengelakkan vendor beroperasi tanpa kontrak yang sah.

 

Jawatankuasa itu juga mencadangkan Kementerian Kewangan mengetatkan pemberian pengecualian kewangan khas bagi memastikan tadbir urus yang baik.

 

e-Jamin beroperasi lima tahun tanpa kontrak

Laporan PAC yang dibentangkan pada 5 Oktober lalu mendedahkan sistem e-Jamin telah beroperasi selama lima tahun tanpa kontrak rasmi dengan kerajaan.

 

Sistem itu digunakan di 192 mahkamah di seluruh negara sejak 10 Januari 2020 bagi membolehkan penjamin membuat bayaran jaminan mahkamah secara elektronik bagi pihak tertuduh.

 

Mas Ermieyati berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sistem itu tidak mempunyai Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima, Surat Hasrat atau kontrak rasmi dengan kerajaan.

 

RM193.71 juta wang jaminan dalam akaun pengendali

PAC mendapati RM193.71 juta wang jaminan berada dalam akaun berkenaan setakat 31 Disember 2024, dengan RM130.8 juta daripadanya dilaburkan oleh Dapat Vista atas nama syarikat tersebut.

 

Jawatankuasa itu turut mendapati wang jaminan disimpan dalam akaun komersial pengendali dan bukannya Akaun Amanah Disatukan Kerajaan.

 

Menurut PAC, perkara itu menimbulkan persoalan berhubung pengurusan wang jaminan dan dikatakan melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

 

PAC turut membangkitkan ketiadaan aturan pemegang amanah (trustee arrangement), bon pelaksanaan dan perlindungan insurans, selain terdapat perbezaan RM557,258 antara rekod dalam sistem dengan penyata bank pengendali yang masih belum diselaraskan.

 

Mas Ermieyati berkata, kerajaan sebenarnya sudah mempunyai saluran alternatif bagi menguruskan bayaran jaminan, termasuk sistem eCourt Finance, pindahan dana secara elektronik dan sistem iPayment.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved