Avangaad jual kapal FSO RM44.5 juta, jana keuntungan segera RM29.4 juta

14/08/2025 - 09:29
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Avangaad Berhad telah melengkapkan penjualan kapal penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO) miliknya berharga AS$ 10.5 juta (RM44.5 juta), menjana keuntungan segera sebanyak RM29.4 juta.
Menurut Kumpulan, hasil penjualan itu akan disalurkan semula ke aset yang berpotensi memberi pulangan lebih tinggi dan kontrak lebih panjang, sejajar dengan strategi jangka panjang untuk memperkukuh aliran tunai serta meningkatkan fleksibiliti kewangannya.
Pengarah Eksekutif Avangaad, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata, transaksi ini bertujuan mewujudkan pilihan strategik kepada syarikat.
“Dengan penyaluran semula modal, kewangan Avangaad kekal kukuh untuk meneroka peluang kontrak sewaan lebih luas serta mengekalkan keseimbangan antara sektor minyak & gas dan logistik marin,” katanya dalam kenyataan.
Avangaad kini memfokuskan peranan sebagai Marine COP (Coordinator, Operator, Partner) melalui model 4P ‘ Port, People, Product, dan Platform’ yang menonjolkan perkhidmatan maritim menyeluruh, bukan sekadar pemilikan aset.
Kumpulan menyediakan pelbagai perkhidmatan marin termasuk tugboat, tangki hilir, penyimpanan luar pesisir (FSU/FPSO) dan kapal sokongan lepas pantai, selain mengendalikan divisyen pembuatan, pembaikan dan fabrikasi kapal.
“Langkah ini memperkukuh kedudukan Avangaad sebagai penyedia penyelesaian maritim bersepadu di Asia Tenggara,” katanya.- DagangNews.com
standard
