
PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Eastern & Oriental Berhad (E&O), bersama Majestic Gen mengambil alih sebidang tanah pegangan bebas di Jalan Kia Peng, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang pasaran hartanah mewah di ibu negara.
Pengambilalihan itu dimuktamadkan oleh KP Urban Sdn. Bhd. (KP Urban), sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan KCB Holdings Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh E&O, dan Golden Urban Nite Sdn. Bhd. (GUN), syarikat bersekutu Majestic Gen.
Dalam struktur pemilikan tersebut, KCB memegang 66.67 peratus kepentingan ekuiti, manakala baki 33.33 peratus dimiliki GUN.
Menerusi urus niaga itu, KP Urban akan menjadi pemilik berdaftar bagi tanah pegangan bebas seluas kira-kira 5,682 meter persegi yang bakal dibangunkan sebagai projek kediaman bertingkat tinggi eksklusif di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, pengambilalihan tersebut merupakan satu lagi langkah penting dalam agenda pertumbuhan syarikat untuk mengukuhkan simpanan tanah pembangunan premium di Kuala Lumpur.
“Jalan Kia Peng merupakan antara alamat paling eksklusif dan menjadi pilihan utama pasaran kediaman mewah di Kuala Lumpur. Pengambilalihan tanah pegangan bebas premium ini membuka peluang kepada kami merealisasikan satu lagi pembangunan yang dirancang secara teliti, selaras dengan komitmen E&O terhadap pembentukan komuniti, kecemerlangan reka bentuk dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kejayaan projek Conlay di Kuala Lumpur serta momentum pembangunan Andaman Island di Pulau Pinang menjadi pemangkin kepada keyakinan syarikat untuk terus memperluaskan portfolio pembangunan mewah.
“Pengambilalihan ini mengukuhkan lagi portfolio pembangunan premium E&O di Malaysia serta mencerminkan keyakinan kami terhadap asas kukuh sektor kediaman mewah di Kuala Lumpur dan keupayaan syarikat mencipta nilai mampan kepada pemegang saham,” katanya.
Terletak di antara Jalan Kia Peng dan kawasan KLCC, tapak berkenaan disifatkan sebagai antara lokasi hartanah paling berprestij di ibu negara kerana menawarkan akses terus kepada pelbagai mercu tanda utama termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Suria KLCC, Pavilion Kuala Lumpur serta laluan pejalan kaki berbumbung.
Nilai strategik lokasi itu turut diperkukuhkan dengan kedudukannya yang berhampiran Taman KLCC, Stesen MRT Conlay dan Stesen Monorel Raja Chulan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Majestic Gen, Ta Wee Dher berkata, Jalan Kia Peng memiliki kelebihan unik hasil gabungan status pegangan bebas, lokasi strategik dan potensi pertumbuhan nilai yang tinggi.
“Atas keyakinan bersama terhadap nilai luar biasa lokasi ini, kami memilih pendekatan pembangunan yang berdisiplin dan berorientasikan jangka panjang.
Melalui GUN, Majestic Gen berbesar hati dapat berganding bahu dengan E&O untuk membentuk sebuah alamat kediaman ikonik di kawasan KLCC,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama itu turut disokong prestasi positif projek Gen Sphere di Johor Bahru yang mencatat kadar pengambilan 100 peratus, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap pembangunan kediaman premium di lokasi strategik.
Dalam masa sama, sambutan memberangsangkan terhadap projek Conlay turut mengesahkan permintaan kukuh bagi kediaman mewah yang menawarkan reka bentuk berkualiti di pusat bandar Kuala Lumpur.
Dengan gabungan kepakaran E&O dalam membentuk komuniti premium dan pengalaman Majestic Gen membangunkan hartanah bernilai tinggi, projek baharu di Jalan Kia Peng dijangka muncul sebagai antara alamat kediaman paling eksklusif di Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuhkan portfolio pembangunan premium kedua-dua syarikat. –UTUSAN
The post E&O, Majestic Gen peroleh tanah premium Jalan Kia Peng appeared first on Utusan Malaysia.

