
PETALING JAYA: Kenaikan tambang e-hailing dan caj penghantaran makanan bukan sekadar mengubah corak penggunaan rakyat, malah berpotensi meningkatkan tekanan kos sara hidup serta memberi kesan kepada kelangsungan ekonomi gig jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) berkata, dapatan tinjauan Rakuten Insight yang menunjukkan 82 peratus daripada 1,003 responden di Malaysia akan mengubah corak penggunaan perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan perlu dipandang serius.
Menurutnya, peningkatan tambang bukan sahaja membebankan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan tersebut, malah memberi kesan rantaian kepada peniaga kecil dan kos kehidupan harian.
“Bagi pengguna yang bergantung kepada e-hailing untuk ke tempat kerja, hospital, pusat pendidikan atau urusan keluarga, peningkatan tambang boleh menjadi tambahan beban bulanan yang ketara.
“Bagi peniaga kecil pula, kenaikan kos penghantaran boleh menjejaskan jualan atau memaksa sebahagian kos tersebut dipindahkan kepada pelanggan. Kesan akhirnya sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut,, LEAD Malaysia berkata, ia memerlukan penyelesaian jangka panjang dan bukan sekadar mengekalkan tambang e-hailing dan penghantaran makanan pada kadar rendah sahaja kerana akan menjejaskan pekerja itu sendir
“Menekan harga tanpa menangani kos sebenar hanya akan memindahkan beban daripada pengguna kepada pekerja gig. Isu yang lebih besar ialah sama ada rakyat Malaysia mempunyai pilihan mobiliti dan peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu, LEAD Malaysia menggesa kerajaan mempercepat usaha membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, bersepadu, mampu milik dan boleh dipercayai bagi mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap perkhidmatan e-hailing.
“Pengangkutan awam tidak boleh hanya tersedia di kawasan tertentu atau pada waktu tertentu. Ia perlu benar-benar menjadi pilihan yang praktikal untuk rakyat bergerak ke tempat kerja, mendapatkan rawatan, menghantar anak ke sekolah dan menjalani kehidupan harian.**
“Dalam ekosistem mobiliti yang lebih baik, perkhidmatan e-hailing boleh berfungsi sebagai pelengkap kepada pengangkutan awam, termasuk bagi perjalanan awal dan akhir, kawasan yang kurang mendapat liputan serta perjalanan pada waktu perkhidmatan awam terhad,”** katanya.
LEAD Malaysia berkata, agenda peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja perlu diperkukuh supaya pekerja gig mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas serta akses kepada pekerjaan bernilai tinggi.
Katanya, kerajaan, industri, institusi pendidikan dan penyedia platform perlu bekerjasama membina ekosistem latihan yang benar-benar memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
“Latihan yang ditawarkan juga perlu berkait dengan peluang pekerjaan sebenar, bukan hanya sekadar program jangka pendek tanpa hasil yang boleh diukur,” katanya.
LEAD Malaysia berkata, kenaikan harga yang tidak dikawal boleh mewujudkan kitaran yang merugikan apabila pengguna mengurangkan tempahan, sekali gus menyebabkan pekerja gig menerima lebih sedikit perjalanan atau penghantaran.
“Oleh itu, sebarang keputusan berkaitan harga perlu mengambil kira bukan sahaja kos platform, tetapi juga kemampuan pengguna, pendapatan bersih pekerja gig dan kesan terhadap kos sara hidup,” katanya.
Tambahnya, tumpuan dasar negara perlu diberikan kepada pembinaan sistem pengangkutan awam yang cekap, peningkatan kemahiran tenaga kerja serta penyediaan lebih banyak pekerjaan berkualiti.
“Kejayaan sebenar bukanlah apabila lebih ramai rakyat bergantung kepada ekonomi gig kerana terpaksa. Kejayaan sebenar ialah apabila rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih antara pekerjaan tetap, keusahawanan dan pekerjaan gig berdasarkan keperluan serta keadaan hidup mereka.
“Ekonomi gig perlu kekal sebagai pilihan yang fleksibel dan bermaruah, tetapi ia bukan pengganti kepada sistem pengangkutan yang cekap, tenaga kerja yang berkemahiran dan peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.-UTUSAN
The post Kenaikan tambang ekonomi gig jejas kos sara hidup rakyat appeared first on Utusan Malaysia.






