e-Sukan ‘lubuk emas’ Sukan SEA 2027?

LocalGaming
26 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: e-Sukan ‘lubuk emas’ Sukan SEA 2027?

E-Sukan yang dahulunya sekadar dipandang sebagai acara sampingan kini berpotensi muncul sebagai lubuk emas baharu negara, susulan pencapaian konsisten atlet tempatan di pentas antarabangsa.

Prestasi memberangsangkan itu sekali gus membuka prospek cerah buat kontinjen negara untuk memburu lebih banyak pingat menjelang Sukan SEA 2027 tahun hadapan apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

Di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, skuad e-Sukan negara membuktikan keupayaannya apabila menyumbang satu pingat emas dan satu perak, sekali gus bakal dijadikan sebagai antara sandaran baharu negara.

Kejayaan jaguh e-Racing negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira yang menakluki saingan di pentas Asia turut mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam acara berkenaan.

Atlet berusia 27 tahun itu bagaimanapun tidak mahu terlalu lama dibuai kejayaan di Aichi-Nagoya, sebaliknya sudah mengalihkan fokus kepada sasaran seterusnya di Sukan SEA 2027.

Taj Izrin berkata, kejayaan di Aichi-Nagoya memberinya keyakinan tambahan untuk memburu emas di laman sendiri, namun dia tetap mahu mengambil pendekatan ‘satu kejohanan demi satu kejohanan’.

“Insya-Allah, sasaran saya memang untuk memburu emas di Sukan SEA kalau boleh. Selepas menakluki Asia, keyakinan tersebut sudah tentu ada, tetapi saya perlu ambil pendekatan langkah demi langkah.

“Setiap kejohanan adalah proses pembelajaran dan kita kena belajar daripada kesilapan lalu untuk terus matang,” katanya.

Potensi besar e-Sukan negara turut mendapat perhatian Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), yang mengesahkan dua judul permainan iaitu Gran Turismo 7 (GT7) dan eFootball disenaraikan sebagai acara perebutan pingat pada Sukan SEA 2027.

Presiden MESF, Muhammad Naim Al Amin Saharudin memberitahu, pemilihan kedua-dua judul berkenaan dibuat berdasarkan prestasi serta penguasaan atlet negara dalam arena e-Sukan di peringkat serantau.

“Kita sudah menghantar senarai penuh, tetapi yang pasti, dua acara sukan ini yang kita akan pertaruhkan untuk Sukan SEA tahun hadapan.

“Kejayaan Taj Aiman membuktikan kita memiliki bakat kelas dunia dalam GT7, manakala atlet eFootball kita juga mempunyai rekod cemerlang selepas meraih pingat perak,” katanya.

Dengan pencapaian di Aichi-Nagoya, Malaysia kini mempunyai asas kukuh untuk memperkukuhkan pembangunan e-Sukan sebagai salah satu cabang yang mampu menyumbang pingat di temasya serantau.

Kejayaan tersebut juga menunjukkan pelaburan terhadap pembangunan bakat, pendedahan antarabangsa serta penyediaan infrastruktur yang lebih tersusun mampu meningkatkan daya saing atlet e-Sukan negara.

Sekiranya momentum tersebut dapat diteruskan, e-Sukan berpotensi menjadi antara acara yang diberi perhatian apabila Malaysia turun memburu kejayaan di Sukan SEA 2027, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha negara memperkukuh kutipan pingat di laman sendiri.

The post e-Sukan ‘lubuk emas’ Sukan SEA 2027? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved