
KEAJAIBAN menjadi gambaran tepat buat skuad sepak takraw negara yang kini dikenali sebagai Golden Tigers selepas menamatkan penantian 36 tahun dengan menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 untuk meraih emas regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Lebih manis, tekong negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi mengakui mereka sendiri tidak mengetahui ‘kunci’ sebenar kemenangan tersebut, sebaliknya hanya masuk ke gelanggang dengan satu tekad untuk berjuang habis-habisan tanpa memikirkan keputusan akhir.
“Kunci kemenangan kami pun tak tahu, tetapi yang penting kami masuk gelanggang dan mahu ‘fight’. Kami tak tahu akan menang 2-1 atau 2-0, tetapi Alhamdulillah, hari ini keajaiban berlaku, tiada yang mustahil. Kami menang 2-0,” katanya.
Kejayaan di Nagoya City Mizuho Arena itu lebih bermakna selepas Syahir dan apit kanan, Azlan Alias mendedahkan persiapan mereka sebelum ke Jepun tidak sempurna apabila beberapa pemain bergelut dengan masalah kecederaan.
“Kami pun tak tahu nak cakap macam mana boleh menang 2-0 sebab memang tak sangka dapat keputusan itu menentang Thailand. Kami tahu Thailand sedang meningkat, sedangkan kami banyak bergelut sebelum datang ke sini. Syahir cedera, saya cedera dan ramai lagi yang cedera, tetapi Alhamdulillah, Tuhan membantu kami,” kata Azlan.
Syahir bersama Azlan dan Farhan Adam menjadi pembuka jalan apabila regu pertama negara mengharungi pertarungan tiga set untuk menang 15-9, 5-15, 15-11 ke atas Phutawan Sopa, Pornthep Tinbangbon dan Marukin Phanmakon.
Regu kedua Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali menyempurnakan kemenangan menerusi aksi regu kedua 15-13, 15-10 membenam cabaran Kamsanor Wuttinun, Sapyen Tanaphon and Nontakote Kritsanapong .
Bagi Syahir, emas tersebut cukup istimewa kerana Golden Tigers akhirnya berjaya mengulangi pencapaian generasi 1990 yang kali terakhir menghadiahkan Malaysia kejuaraan regu berpasukan Sukan Asia.
“Sukan Asia ini sudah terlalu lama, 36 tahun. Untuk tahun 2026 ini, kami dapat mencipta sejarah untuk generasi kami. Alhamdulillah,” katanya.
Meskipun sudah mengecap kejayaan di Piala Dunia, Sukan SEA dan kini Sukan Asia, Azlan menegaskan skuadnya belum mahu dibuai kejayaan kerana masih mempunyai misi dalam acara regu.
Emas itu bukan sahaja menamatkan kemarau 36 tahun sejak Sukan Asia Beijing 1990, malah menjadi pingat emas keempat kontinjen Malaysia di Aichi-Nagoya dengan sepak takraw negara kini mengalihkan fokus kepada buruan emas acara regu.
The post Sukan Asia: Golden Tigers cipta keajaiban sensasi appeared first on Kosmo Online.






