
EAS: Isu Gaza, Myanmar Antara Dibangkitkan PM Anwar
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar negara anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) memberi penekanan terhadap keamanan yang berkekalan terhadap dua wilayah bergolak, Palestin dan Myanmar.
Menurut beliau, inisiatif ini selaras dengan prinsip EAS yang berpegang kepada keamanan dan keselamatan global berasaskan multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.
Menyentuh mengenai isu di Gaza, Anwar turut mengalu-alukan pelan komprehensif terbaru Amerika Syarikat untuk menamatkan konflik Gaza.
Beliau menyifatkan langkah ini sebagai permulaan penting dan kritikal untuk menghentikan konflik peperangan di sana.
“Tetapi kami telah menggesa agar mandat ini diteruskan dan dipantau dengan teliti supaya wujud keamanan yang berkekalan, keadilan yang inklusif, serta penyelesaian politik yang mampan untuk Palestin,” tegasnya.
Sementara itu, menyentuh isu Myanmar, Anwar menyatakan bahawa ASEAN menegaskan komitmennya terhadap Konsensus Lima Perkara dan Malaysia telah giat berunding dengan semua pihak bagi menggalakkan keamanan dan bantuan kemanusiaan.
“Mengenai Myanmar, negara itu telah menyampaikan perkara itu melalui saya tahun lalu. Beberapa tahun ini, kami masih komited terhadap Konsensus Lima Perkara.
“Pada masa yang sama, saya ingin menyatakan bahawa daripada dua pertemuan yang saya adakan bersama rakan sejawat, kami memahami bahawa apabila pemimpin tertentu dipengaruhi dan diarahkan oleh kuasa luar, keadaan menjadi lebih rumit dan bertambah buruk.
“Setakat ini, bagi pihak kami, keadaan masih terkawal,”ujarnya sewaktu di pembukaan Forum Asia Timur (EAS) ke-20 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Antara peminpin yang hadir termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
Turut hadir ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio, Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk, Menteri Luar Negeri Indonesia Sugiono, Menteri Hal Ehwal Luar India S. Jaishankar, Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun, Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Myanmar Hau Khan Sum.
Dalam masa yang sama, Anwar berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan EAS tahun ini akan mengguna pakai Deklarasi Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-20 EAS.
Ia termasuk mengenai pemerkasaan tindakan awal secara tempatan bagi kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap bencana
Beliau berkata kedua-dua dokumen itu membuktikan bahawa kepelbagaian tidak memecahbelahkan dan bahawa tindakan bersama kekal sebagai asas ketahanan rantau ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada negara-negara yang mengambil bahagian dalam EAS atas komitmen dan ketabahan yang membawa kepada pencapaian ini.
“Ini merupakan contoh jelas bahawa kepelbagaian tidak memecahbelahkan,” katanya lagi.
The post EAS: Isu Gaza, Myanmar Antara Dibangkitkan PM Anwar appeared first on Siakap Keli.
