EastCoast Rallying Kembali Warnai Kejuaraan Rali Malaysia Bagi Musim 2025

5 Aug 2025 • 1:39 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Jempol, Negeri Sembilan menjadi lokasi pembukaan rasmi bagi Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 yang kini dijenamakan sebagai Rally of Jempol 2025. Perlumbaan dua hari yang akan bermula Sabtu ini menyaksikan penyertaan 36 pelumba mewakili 18 jentera, bersaing sengit untuk memburu podium pertama musim ini.

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan dengan perlumbaan merangkumi 10 peringkat cabaran sejauh 239.88KM, yang akan berlangsung di laluan kelapa sawit sekitar FELDA Raja Alias dan FELDA Serting Hilir.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada penampilan semula lagenda rali negara, Karamjit Singh yang akan bergandingan dengan Daveendar Singh menggunakan jentera Proton Gen2 4WD dalam kategori Terbuka. Mereka dijangka memberikan cabaran sengit kepada barisan pelumba tempatan yang kini semakin mencuri perhatian di pentas kebangsaan.

image is not available

Turut mencuri perhatian ialah pasukan kecil dari Pantai Timur, Eastcoast Rally, yang mempertaruhkan jentera Subaru Impreza WRX 4WD dipandu oleh Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama pemandu arah sementara, Mohd Hazwan Fauzi.

“Segala-galanya di tahap terbaik, termasuk persiapan jentera kami. Sasaran awal kami adalah untuk berada di podium, namun kami sedar setiap pasukan hadir dengan kekuatan masing-masing,” ujar Muhammad Syakirin semasa sesi persiapan akhir di R&R Sports Speed Garage, Kajang Perdana, Selangor.

Beliau turut menzahirkan keyakinan walaupun tanpa gandingan tetapnya, Amir Izham Abd Aziz, yang tidak dapat beraksi kali ini akibat komitmen dalam program kejurulatihan skuba di Pulau Perhentian, Terengganu.

Mohd Hazwan yang menggantikan Amir bukanlah muka baharu kerana beliau turut memiliki pengalaman dalam beberapa perlumbaan rali tempatan sebelum ini.

Siri Kejuaraan Sepanjang Musim

Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 yang dianjurkan oleh Millennium Motorsports Adventures Club (MMAC) kini memasuki tahun kedua penganjuran, dengan pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) selaku badan induk permotoran tanah air.

Musim ini akan menampilkan empat pusingan perlumbaan, dengan Rally of Jempol menjadi permulaan. Pusingan kedua bakal berlangsung di Sepang Bay 13, Litar Antarabangsa Sepang sempena MAM Malaysia Festival of Speed (MFOS) pada 15 hingga 17 Ogos 2025.