amree08/10/2026 - 16:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt — Pelabur Malaysia kini mempunyai satu lagi pilihan untuk mendapatkan pendedahan kepada pasaran saham Amerika Syarikat (AS) sambil mengejar aliran pendapatan berkala menerusi pelancaran dana baharu oleh Eastspring Investments Berhad.
Kumpulan berkenaan melancarkan Eastspring Investments Partner Series — US Equity High Income Fund, yang menyasarkan pendapatan serta potensi pertumbuhan modal jangka panjang yang tinggi melalui pelaburan dalam ekuiti secara terus daripada pasaran AS.
Syarikat pengurusan aset tersebut menerusi kenyataan berkata, dana terkini berkenaan akan melaburkan sekurang-kurangnya kira-kira 85% daripada asetnya dalam Amundi Funds US Equity High Income Fund, yang kemudian bertindak pula sebagai dana sasaran.
"Secara kelaziman, dana sasaran tersebut akan memperuntukkan sebanyak lebih 50% daripada kesemua portfolionya kepada ekuiti AS, manakala sehingga 50% lagi boleh dilaburkan dalam pelbagai nota yang berkaitan dengan ekuiti (ELN)," jelas Eastspring.
Strategi tersebut ujar kumpulan berkenaan, membolehkan kaedah penggabungan tiga sumber potensi pulangan, iaitu dividen daripada pelbagai syarikat AS yang terpilih, pendapatan daripada ELN serta potensi peningkatan nilai modal jangka panjang.
Dana tersebut tambah kumpulan itu, akan diurus secara aktif, dengan peruntukan pelaburan dalam ekuiti AS dan ELN yang diselaraskan mengikut keadaan pasaran semasa di negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Eastspring, Yap Siok Hoon berkata, pembentukan dana berkenaan disasarkan kepada pelabur yang mahukan pendapatan sambil mengekalkan pendedahan kepada pasaran ekuiti AS.
"Pada kebiasaannya, ekuiti AS terus menawarkan peluang pertumbuhan jangka panjang yang menarik, namun pelabur juga semakin mencari sumber pendapatan secara bermakna dan berkala," katanya.
Melalui kerjasama dengan Amundi, strategi itu menggabungkan beberapa sumber potensi pulangan dalam satu portfolio yang diurus secara aktif, sekali gus membolehkan pelabur kekal melabur dalam pasaran AS sambil mengejar pendapatan untuk jangka panjang.
Dana berkenaan ditawarkan dalam kelas unit dolar AS, ringgit dilindung nilai, dolar Singapura dilindung nilai dan dolar Australia dilindung nilai melalui sejumlah bank yang mengambil bahagian serta perunding unit amanah berlesen.
Agihan boleh dibuat secara bulanan daripada pendapatan direalisasi, tertakluk kepada ketersediaan pendapatan, dengan keuntungan modal direalisasi tau modal, namun Eastspring menegaskan pulangan pelaburan serta agihan tidak dijamin.
Kumpulan tersebut merupakan sebahagian daripada Prudential PLC, yang menguruskan sejumlah 37 dana dengan aset di bawah pengurusan berjumlah kira-kira RM60.7 bilion setakat 30 Jun 2026. - DagangNews.com






