MCE rancang tembusi pasaran Amerika Syarikat dan India susulan kemerosotan margin bagi 4QFY26

Business & FinanceCars
7 Oct 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MCE rancang tembusi pasaran Amerika Syarikat dan India susulan kemerosotan margin bagi 4QFY26 Image from: MCE rancang tembusi pasaran Amerika Syarikat dan India susulan kemerosotan margin bagi 4QFY26 amree07/10/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt — MCE Holdings Berhad merancang memperluas pasaran komponen automotif ke Amerika Syarikat (AS) dan India setelah berdepan tekanan margin yang ketara susulan kemerosotan keuntungan sebelum cukai (PBT) pada suku keempat berakhir 31 Julai 2026 (4QFY26).

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia menjangka memulakan penghantaran komponen automotif ke pasaran AS menjelang akhir suku kedua atau awal suku ketiga FY27, sekali gus membuka peluang pertumbuhan baharu di luar pasaran domestik.

 

Pada masa sama, kumpulan itu mula meneroka pasaran India menerusi projek pertama reka bentuk dan pembangunan komponen mekatronik bagi kenderaan komersial melalui anak syarikat miliknya 55%, MCE Abhishek K Auto Components Private Limited.

 

"Langkah pengembangan ini dibuat ketika PBT bagi 4QFY26 susut 62.61% kepada RM1.988 juta, daripada RM5.317 juta bagi tempoh sama setahun sebelumnya, walaupun hasil meningkat kira-kira 11.95% kepada sebanyak RM44.871 juta," jelas kenyataan MCE tersebut.

 

Situasi lemah berkenaan ujarnya, disebabkan tekanan kos bahan mentah, turun naik pertukaran mata wang asing (forex) serta peningkatan perbelanjaan operasi bagi fasa peralihan dan peningkatan pengeluaran di MCE Auto Hub, Serendah, Selangor.

 

Bagi FY26, hasil kumpulan meningkat kira-kira 21.54% kepada RM185.468 juta, namun PBT pula merosot 22.89% kepada RM23.467 juta berbanding sebanyak RM30.434 juta pada FY25, manakala keuntungan bersih selepas cukai (PAT) berjumlah RM16.934 juta.

 

MCE_DagangNews2026

 

MCE berkata, tekanan kos turut dicerminkan oleh peningkatan faedah pekerja kepada RM44.235 juta daripada RM34.004 juta, manakala perbelanjaan bahan mentah dan barang guna habis berjumlah RM80.918 juta serta susut nilai dan pelunasan naik kepada RM6.528 juta.

 

"Sementara itu, perbelanjaan operasi lain didapati bertambah kepada RM20.477 juta, sebahagiannya disebabkan oleh kos permulaan operasi di hab pengeluaran baharu di Serendah," jelasnya.

 

Segmen automotif kekal sebagai penyumbang utama dengan merekodkan hasil RM43.703 juta pada 4QFY26 dan RM183.203 juta bagi FY26, dipacu permintaan produk bernilai tinggi seperti sistem infotainment dan kluster meter digital bagi kenderaan elektrik (EV) nasional.

 

MCE Auto Hub di Serendah kini beroperasi penuh, manakala anak syarikat tidak langsungnya, Eagle MCE Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, menyelesaikan pengambilalihan 50% ekuiti FP Project Enterprise Sdn Bhd pada 3 Ogos 2026 bagi memperkukuh keupayaan pembuatan komponen huluan.

 

Kumpulan itu turut melihat ruang pertumbuhan daripada ketahanan industri automotif tempatan selepas Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menaikkan unjuran jumlah keseluruhan volum industri (TIV) 2026 kepada 800,000 unit berbanding 790,000 unit sebelum ini.

 

"Melangkah ke hadapan, MCE akan terus memanfaatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan tempatan untuk memenuhi keperluan lokalisasi kenderaan generasi baharu, di samping meneroka penggunaan teknologi kejuruteraan automotif," katanya.

 

Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim kedua satu tingkat sebanyak 5 sen sesaham bagi FY26 yang akan dibayar pada 13 November 2026, menjadikan jumlah dividen tahun kewangan semasa sebanyak 10 sen sesaham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved