amree07/10/2026 - 10:50 NORAINI Ahmad (dua dari kiri) melancarkan portal GeoSAWIT pada Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan portal GeoSAWIT bagi memetakan dan mengesahkan lokasi serta sempadan tanaman sawit di seluruh negara, dalam usaha memperkukuh ketelusan dan kebolehjejakan industri sawit Malaysia di pasaran global.
Menurutnya dalam kenyataan, platform geospatial nasional itu mampu meliputi kawasan tanaman kelapa sawit milik estet dan pekebun kecil, sekali gus membolehkan agensi berkenaan memperoleh data yang lebih tepat mengenai situasi semasa landskap tanaman komoditi negara tersebut.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sistem seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan GeoSAWIT bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan, malah menjadi sebahagian strategi penjenamaan minyak sawit Malaysia di peringkat dunia.
"Pelancaran GeoSAWIT dijangka membantu industri memenuhi keperluan pasaran global yang semakin menekankan aspek ketelusan, kebolehjejakan dan kemampanan, selain menyokong usaha meningkatkan keyakinan pembeli antarabangsa terhadap potensi minyak sawit Malaysia," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 di Kuala Lumpur serta menjelaskan, minyak sawit Malaysia perlu dikenali bukan sahaja kerana kualitinya, tetapi juga pengurusan industri yang bertanggungjawab dan telus.
Di samping itu tambah Noraini, industri sawit tempatan perlu beralih daripada hanya menumpukan produktiviti dan jumlah pengeluaran kepada penciptaan produk bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi, inovasi, automasi serta kecekapan pengurusan.
Ujar beliau memberi contoh sepanjang 2025, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia sudah berjaya mencecah 20.28 juta tan, melepasi paras rekod 20 juta tan buat kali pertama, manakala nilai eksport produk berasaskan sawit pula mencapai RM125 bilion.

Sementara itu, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, ketepatan dan kebolehpercayaan data penting bagi memperkukuh sistem pemantauan serta kebolehjejakan industri, sekali gus menyokong tadbir urus berasaskan data.
"GeoSAWIT melengkapi SIMS sebagai sebahagian daripada pendekatan digital MPOB untuk memperkukuh kebolehjejakan rantaian bekalan sawit negara, termasuk membantu pekebun kecil dalam memenuhi keperluan pasaran antarabangsa," kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 36 penerima daripada 12 kategori menerima Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan produktiviti, teknologi dan automasi, pematuhan peraturan, pemasaran produk serta kemampanan. - DagangNews.com





