
KINSHASA – Lebih 5,000 kes Ebola direkodkan di Republik Demokratik Congo(DRC), kata agensi kesihatan Kesatuan Afrika semalam, ketika negara dilanda konflik itu berdepan wabak terburuk dalam sejarah.
Diisytiharkan pada 15 Mei lalu, wabak Ebola ke-17 di DRC itu dipercayai menular selama beberapa minggu sebelum tarikh tersebut diisytiharkan.
Ia melanda wilayah di utara dan timur di DRC mana kehadiran kerajaan adalah lemah, infrastruktur kesihatan daif dan pelbagai kumpulan bersenjata berkeliaran selama beberapa dekad.
Wabak semasa menyebabkan 2,378 kematian daripada 5,021 kes yang disahkan, demikian menurut data terkini diterbitkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC) semalam.
Wabak Ebola antara tahun 2018 hingga 2020 yang sebelum ini dianggap paling dahsyat di DRC telah mengorbankan 2,299 orang daripada 3,381 kes yang disahkan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kelmarin, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa ‘wabak Ebola kali ini masih jauh daripada terkawal’.
“Risiko penularan seterusnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kekal tinggi,” kata Tedros.
Ebola telah membunuh lebih 15,000 orang di Afrika dalam tempoh 50 tahun yang lalu.
Tiada vaksin yang diluluskan atau rawatan khusus untuk virus Ebola Bundibugyo iaitu varian di sebalik lonjakan kes semasa tetapi ujian klinikal sedang dijalankan. – AFP
The post Ebola lepas 5,000 kes, lebih 2,300 terbunuh appeared first on Kosmo Digital.




