ECA Integrated perluas eksport ke ASEAN, Eropah dan AS susulan permintaan automasi semikonduktor

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECA Integrated perluas eksport ke ASEAN, Eropah dan AS susulan permintaan automasi semikonduktor Image from: ECA Integrated perluas eksport ke ASEAN, Eropah dan AS susulan permintaan automasi semikonduktor amree23/09/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept — ECA Integrated Solution Berhad mempercepatkan perluasan pasaran ke ASEAN, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bagi memanfaatkan pertumbuhan sektor semikonduktor serta elektronik global yang meningkatkan permintaan terhadap rumusan automasi kilang.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, peluang tersebut hadir ketika industri pembuatan semakin memberi tumpuan kepada automasi bagi menambah kecekapan pengeluaran, da membuka ruang kepada kumpulan itu untuk memperluas pangkalan pelanggannya di pasaran antarabangsa.

 

Bagaimanapun, kumpulan kekal berdepan dengan cabaran peningkatan kos bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan yang boleh memberi tekanan kepada margin serta prestasi projek, menjadikan kawalan kos antara tumpuan utama bagi baki tahun kewangan 2026 (FY26).

 

"ECA Integrated akan terus memberi tumpuan kepada inovasi kejuruteraan dan kecekapan operasi bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dalam persekitaran industri yang semakin mencabar," jelasnya dalam laporan kewangan suku ketiga FY66 berakhir pada 31 Julai 2026.

 

Strategi perluasan pasaran itu turut disokong oleh peningkatan aktiviti penghantaran dan penyempurnaan projek bagi sistem pengeluaran bersepadu (IPS) serta peralatan automasi berdiri dendiri (SAE), yang menjadi antara pemacu utama prestasi kumpulan.

 

Ujarnya, momentum positif tersebut mula dapat dilihat dalam prestasi kewangan apabila hasil bagi 3QFY26 melonjak kira-kira 111.1% kepada sebanyak RM11.80 juta berbanding hanya RM5.59 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.

 

ECA_DagangNews2026

 

Bagi tempoh sembilan bulan (9MFY26), hasil ECA Integrated meningkat 131.3% kepada RM31.04 juta berbanding RM13.42 juta sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) kembali positif pada RM4.70 juta berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) RM11.45 juta.

 

"Bagi tempoh suku ketiga itu sahaja, kumpulan sudah dapat merekodkan PBT RM1.47 juta berbanding LBT RM4.81 juta setahun sebelumnya, yang mencerminkan pemulihan prestasi susulan peningkatan penghantaran sistem dan peralatan automasi," tambahnya.

 

Katanya lagi, berbanding bagi suku kedua FY26, pendapatan meningkat 14.2% daripada RM10.33 juta, namun PBT susut kira-kira 14.8% daripada RM1.73 juta susulan peningkatan kos bahan mentah dan cabaran rantaian bekalan.

 

Dari aspek korporat, pemegang saham ECA Integrated meluluskan cadangan skim opsyen saham pekerja (ESOS) sehingga 15% serta terbitan persendirian sehingga 20% dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 20 Ogos 2026, yang memberi ruang menyokong strategi pertumbuhan.

 

Lembaga Pengarah kekal berhati-hati terhadap prospek bagi baki FY26, dan dijangka memanfaatkan peluang dalam sektor semikonduktor dan elektronik sambil memperluas pasaran global, meningkatkan keupayaan automasi serta mengekalkan disiplin kawalan kos. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved