Bunga ganja laris di Eropah, orang awam sasaran jadi keldai dadah

10 Sep 2026 • 3:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bunga ganja laris di Eropah, orang awam sasaran jadi keldai dadah

BACHOK – Orang awam dikesan menjadi sasaran sindiket pengedaran untuk dijadikan sebagai keldai dadah membawa bunga ganja ke negara Eropah melalui pengangkutan udara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut mendapati, dadah jenis bunga ganja mendapat permintaan tinggi di Eropah sekali gus menjadikan pengedaran dadah itu mempunyai pasaran tersendiri benua berkenaan.

Katanya, tawaran sindiket kepada orang awam untuk menjadi keldai dadah dengan membawa bagasi juga melibatkan jumlah wang yang banyak apabila ia melibatkan bayaran tiket dan pakej percutian di Eropah.

“Bukan mudah untuk sindiket menawarkan satu jumlah yang besar kepada orang awam menjadi keldai dadah. Jadi, jangan terperangkap dengan sindiket itu.

“Kebiasaannya, keldai dadah yang membawa bunga ganja ke Eropah ini adalah orang awam. Setakat yang kita tahu, juruterbang atau pembantu juruterbang tidak terlibat dalam kegiatan membawa dadah sehingga ke Eropah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Strategik Pengarah JSJN Bukit Aman ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein memberitahu, juruterbang yang terlibat dalam kegiatan keldai dadah kebiasaannya akan membawa barangan terlarang itu ke Indonesia dan Australia.

Menurutnya, kes itu bersandarkan kepada tangkapan melibatkan seorang pembantu juruterbang di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia pada 29 Julai lalu.

Ditanya mengenai pergerakan keldai dadah melibatkan orang awam sehingga berjaya melepasi sempadan negara menerusi lapangan terbang, Hussein bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu kerana sudah ada kes tangkapan melibatkan pembantu juruterbang di Jakarta baru-baru ini. Kementerian Dalam Negeri sedang melihat semua langkah-langkah untuk mengetatkan kawalan supaya tidak mudah terlepas di pintu keluar bukan sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tetapi di semua pintu keluar negara.

“Ada juga tangkapan dadah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. Sindiket ini begitu licik apabila melihat semua ruang. Jika tidak boleh melalui ruang udara, mereka akan guna laluan air atau darat untuk menyeludup dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Bunga ganja laris di Eropah, orang awam sasaran jadi keldai dadah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved