ECM Libra bina resort jenama Ormond berkapasiti 396 bilik di Desaru Coast

16 Oct 2026 • 3:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECM Libra bina resort jenama Ormond berkapasiti 396 bilik di Desaru Coast Image from: ECM Libra bina resort jenama Ormond berkapasiti 396 bilik di Desaru Coast amree16/10/2026 - 15:25 Foto kredit Low Yen Yeing Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt — ECM Libra Group Berhad, menerusi anak syarikatnya, Ormond Group, memulakan pembinaan resort 396 bilik di pantai peranginan, Desaru Coast, Johor, yang dijadualkan dibuka menjelang suku keempat 2029.

 

Projek yang dikenali sebagai Ormond Desaru itu merupakan pelaburan pihak ketiga pertama dalam pelan induk Desaru Coast, sekali gus menandakan penyertaan sulung Ormond Group dalam segmen resort berkonsepkan percutian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ECM Libra, Gareth Lim berkata, kemudahan infrastruktur sedia ada yang lengkap di kawasan Desaru Coast menjadi antara faktor utama mendorong keputusan pelaburan pembinaan resort tersebut.

 

"Projek terbaharu ini juga membolehkan kumpulan dapat mengembangkan lagi konsep dan identiti jenama Ormond ke dalam pasaran resort yang semakin luas mendapat permintaan terutama pelancong antarabangsa," katanya.

 

Nilai keseluruhan pembangunan Ormond Desaru belum didedahkan, meskipun ECM Libra sebelum ini mengumumkan kemudahan pembiayaan sehingga RM130 juta daripada RHB Bank bagi pembangunan hotel tepi pantai di Desaru.

 

Ormond Desaru menyasarkan segmen pasaran pertengahan yang masih kurang mendapat perhatian berbanding hotel bertaraf tinggi dan penginapan yang terpencil di Desaru Coast. Kadar purata harian bilik namun belum dimuktamadkan.

 

Resort berkeluasan 3.7 hektar itu terletak di tepi pantai dan merupakan sebahagian Fasa 2 pelan induk Desaru Coast yang diterajui pemaju induk, Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH), subsidiari Khazanah Nasional Berhad.

 

Desaru Coast
PANORAMA Desaru Coast di Johor dari udara.

 

Projek berkenaan jelas Lim, dimiliki dan dibangunkan oleh Desaru Beachfront Sdn Bhd, anak syarikat ECM Libra, manakala Ormond Group akan mengurus serta mengendalikan operasi resort berkenaan di bawah jenama Ormond.

 

"Ia direka untuk menyasarkan keluarga muda, resort itu akan menawarkan bilik yang lebih luas, termasuk suite dua bilik tidur berkeluasan 1,400 kaki persegi dengan balkoni peribadi sebagai antara tarikan utamanya," katanya.

 

Kemudahan lain merangkumi restoran yang mengetengahkan sajian tempatan, bar pantai, kolam renang utama, kelab kanak-kanak, dewan tari-menari berkapasiti 300 orang, bilik mesyuarat dan kawasan lapang untuk acara.

 

Pasukan projek terdiri Post Company, HL Design Group dan Philippe Villeroux, yang turut terlibat dalam pembangunan The Chow Kit — an Ormond Hotel. Portfolio Ormond Group ketika ini juga merangkumi MoMo’s, Tune Hotels serta The RuMa Hotel and Residences.

 

Ormond Desaru terletak bersebelahan dengan The Westin Desaru dalam kawasan pelan induk Desaru Coast, yang seluas 1,618 hektar dan diuruskan Desaru Coast Sdn Bhd, anak syarikat DRH di bawah Khazanah Nasional. 

 

Pembangunan lain dalam fasa sama termasuk litar go-kart dengan struktur pelaburan pajakan dan pembinaan bernilai RM10 juta oleh Arina International Holding Pte Ltd dari Singapura serta kelab sukan raket, yang dijangka beroperasi akhir 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved