liza28/10/2026 - 10:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt – Peningkatan kos operasi termasuk tambahan perbelanjaan kakitangan sebanyak RM34 juta setahun susulan pelaksanaan gaji minimum baharu pada Jun 2027 menjadi antara risiko utama yang perlu dihadapi Eco-Shop Marketing Berhad, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan kos kakitangan berkenaan tidak termasuk kesan daripada peningkatan kos input yang berpotensi menambah tekanan terhadap margin keuntungan peruncit barangan harga rendah itu.
Sehubungan itu, RHB Research menjangkakan tekanan kos berkenaan akan mendorong satu lagi kenaikan harga jualan purata (ASP), yang telah diambil kira dalam unjuran kewangan bagi tahun kewangan 2028.
“Selain itu, sentimen pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan serta kenaikan ketara kos input juga menjadi risiko kepada prospek syarikat,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Firma itu berkata keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) Eco-Shop berada di bawah jangkaan, terutamanya disebabkan margin untung kasar yang lebih rendah daripada unjuran.
“Margin untung kasar syarikat merosot kepada 31.2% berbanding 31.8% dalam tempoh sama tahun sebelumnya, antaranya akibat perubahan kadar pertukaran ringgit berbanding yuan China serta campuran produk yang kurang menguntungkan.
“Peningkatan sumbangan jualan makanan dan minuman sebanyak dua mata peratusan kepada 38% turut memberi tekanan kerana kategori itu mempunyai margin untung kasar yang lebih rendah.
“Berbanding suku sebelumnya, margin untung kasar merosot 3.4 mata peratusan daripada 34.5%, dipengaruhi kos input lebih tinggi susulan konflik di Timur Tengah, pergerakan mata wang yang tidak memihak serta gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan jualan produk jenama sendiri,” kata RHB Research.
Susulan prestasi itu, RHB Research mengurangkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2027, 2028 dan 2029 masing-masing sebanyak 4%, 4% dan 3%.
ARTIKEL BERKAITAN: Jualan suku pertama naik kepada RM794 juta, Eco-Shop sasar buka 100 kedai baharu pada FY2027
Kekalkan saranan beli, turunkan harga sasaran
Walaupun berdepan tekanan kos dan margin keuntungan, RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham Eco-Shop, tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM1.62 daripada RM1.82 sebelum ini.
Harga sasaran baharu itu berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF), termasuk premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 4%.
Pada harga saham RM1.43 ketika laporan diterbitkan, sasaran baharu tersebut membayangkan potensi kenaikan harga sebanyak 13.2%, selain anggaran hasil dividen 3% bagi tahun kewangan 2028.
RHB Research berkata, pelarasan harga sasaran itu turut mengambil kira cabaran perniagaan susulan sentimen pengguna yang lemah serta inflasi kos.
Sasaran 100 kedai baharu, unjuran keuntungan 14%
Mengulas prospek, RHB Research berkata, pihak pengurusan Eco-Shop sedang meneliti pilihan termasuk memperbaharui campuran produk bagi mengurangkan tekanan terhadap margin keuntungan.
Gangguan rantaian bekalan yang disebut dalam laporan itu juga telah kembali normal pada Oktober, yang dijangka membantu meningkatkan jualan produk dengan margin lebih tinggi dan mengekalkan pertumbuhan positif jualan kedai sama.
Pembukaan kedai baharu pada suku pertama lebih perlahan daripada kadar biasa, namun pihak pengurusan yakin dapat mempercepatkan pelaksanaan bagi mencapai sasaran 100 kedai baharu.
RHB Research menjangkakan keuntungan Eco-Shop berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 14% dalam tempoh tiga tahun, disokong peluasan rangkaian kedai, peningkatan penembusan pasaran dan pengukuhan jenama.
Bagi tahun kewangan berakhir Mei 2027, firma itu mengunjurkan hasil sebanyak RM3.371 bilion dan keuntungan bersih berulang RM299 juta. Angka itu dijangka meningkat masing-masing kepada RM4.139 bilion dan RM389 juta menjelang tahun kewangan 2029. - DagangNews.com






