sarah24/11/2026 - 17:38 KUALA LUMPUR 24 Nov - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai pemangkin perubahan yang bakal mempercepat pembangunan negeri-negeri di Pantai Timur.
Menurut laporan The Sun, baginda bertitah bahawa pembangunan pesat di Pantai Barat sebelum ini didorong oleh penyediaan rangkaian jalan raya dan kereta api yang lebih awal.
Pelaksanaan ECRL bersama projek Lingkaran Tengah Utama (CSR) dijangka mempercepat pembangunan ekonomi Pantai Timur.
Baginda turut berharap tujuh stesen ECRL di Pahang bukan sekadar berfungsi sebagai kemudahan pengangkutan awam, malah menjadi hab pembangunan ekonomi yang merangsang kegiatan perniagaan di daerah masing-masing.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Stesen ECRL KotaSAS di Kuantan hari ini.
ECRL merentasi pentadbiran lima Perdana Menteri
Al-Sultan Abdullah turut mengimbas perjalanan projek infrastruktur negara itu yang merentasi pentadbiran lima Perdana Menteri dan tiga Yang di-Pertuan Agong, termasuk baginda sendiri.
Baginda sebelum ini turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak bagi mendapatkan penjelasan mengenai perancangan projek serta memastikan kesinambungan pelaksanaannya.
Baginda menzahirkan penghargaan kepada pemimpin terdahulu dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, selain menekankan kepentingan mengutamakan keselamatan dalam aspek operasi dan penyelenggaraan ECRL.
Al-Sultan Abdullah bersama ahli keluarga diraja turut berkesempatan menaiki kereta api ECRL dari Stesen KotaSAS ke Stesen Bentong.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar. - DagangNews.com





