ECRL ‘game changer’ yang bakal memacu pembangunan Pantai Timur - Sultan Pahang

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 5:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL ‘game changer’ yang bakal memacu pembangunan Pantai Timur - Sultan Pahang Image from: ECRL ‘game changer’ yang bakal memacu pembangunan Pantai Timur - Sultan Pahang sarah24/11/2026 - 17:38

KUALA LUMPUR 24 Nov - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai “game changer” yang bakal memacu pembangunan negeri-negeri di Pantai Timur.

 

Menurut laporan The Sun, baginda bertitah bahawa kemajuan pesat Pantai Barat sebelum ini didorong oleh pembangunan rangkaian jalan raya dan kereta api yang lebih awal berbanding Pantai Timur.

 

Sehubungan itu, pembangunan ECRL bersama projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) diharap dapat mempercepat pembangunan di Pantai Timur.

 

Al-Sultan Abdullah turut berharap tujuh stesen ECRL di Pahang dapat dimanfaatkan sebagai hab pembangunan ekonomi di daerah masing-masing.

 

“Jangan sekadar hanya ada stesen tetapi tidak memacukan kegiatan ekonomi setempat, khususnya di semua daerah yang mempunyai stesen kereta api ini,” titah baginda ketika merasmikan Stesen ECRL KotaSAS di sini hari ini.

 

ECRL merentasi pentadbiran lima Perdana Menteri

Al-Sultan Abdullah turut mengimbas sejarah pembangunan projek infrastruktur negara itu yang merentasi pentadbiran lima Perdana Menteri dan pemerintahan tiga Yang di-Pertuan Agong, termasuk baginda sendiri.

 

Baginda turut memainkan peranan dalam memastikan kesinambungan projek berkenaan selepas mendapatkan penjelasan mengenai perancangannya daripada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

 

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pemimpin terdahulu dan pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut.

 

Keselamatan operasi ECRL perlu diutamakan

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan pihak pengendali supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL.

 

Pada majlis tersebut, baginda turut menandatangani plak perasmian dan menyaksikan tayangan montaj Stesen ECRL KotaSAS.

 

Al-Sultan Abdullah bersama ahli keluarga diraja turut berkesempatan menaiki tren ECRL dari Stesen KotaSAS ke Stesen Bentong.

 

Turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, manakala yang turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved