
GOMBAK: Kerajaan menyasarkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak dapat mula beroperasi seawal Disember tahun ini, berbanding jadual asal pengoperasian komersial pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cabaran itu diberikan kepada pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) berikutan kemajuan projek berkenaan yang kini berjalan sangat lancar dan mengikut jadual.
Beliau berkata, penambahbaikan proses yang dilakukan sepanjang pelaksanaan projek membolehkan tempoh masa yang digunakan dipercepatkan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat dengan lebih cepat.
“Sebenarnya kita berjanji untuk pengoperasian pada tahun depan, namun hari ini kita berikan cabaran menerusi pelaksanaan ujian Fault-Free Run (FFR). Kami berharap MRL dapat mula mengoperasikan perkhidmatan ini pada akhir tahun ini.
“Kita harap projek ini dapat disiapkan dan mula beroperasi pada 2026 sebelum penghujung tahun, sekali gus membolehkan segala usaha besar yang dicurahkan memberikan hasil kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT) dan Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) & FFR Projek ECRL di sini, semalam.
Turut hadir, Presiden China Communications Construction Company Ltd (CCCC), Zhang Bingnan.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, pembinaan projek ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai tahap kemajuan keseluruhan sebanyak 95.08 peratus setakat Julai lalu.
“Jajaran fasa pertama ECRL dari Kota Bharu ke Gombak dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2026, manakala jajaran fasa kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap menjelang Disember 2027 bagi pengoperasian penuh pada Januari 2028,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai ujian sistem, beliau berkata, ujian SIT bagi menilai tahap sistem infrastruktur kereta api secara langsung akan bermula bulan ini.
“Ujian itu akan disusuli dengan ujian FFR pada September depan untuk menilai prestasi tren unit gandaan elektrik (EMU) bagi penumpang dan E-Loco bagi kargo untuk mendapatkan kelulusan pengoperasian komersial,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Sri Darwis Abdul Razak berkata, Tren CIT akan membantu melancarkan operasi dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL.
Katanya, tren tersebut berupaya merekod parameter geometri landasan, memeriksa sistem semboyan kereta api serta meneliti sistem aliran elektrik Overhead Catenary System (OCS) di sepanjang jajaran ECRL sejauh 665 kilometer.
“Kami berbesar hati memaklumkan bahawa tren CIT mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 160 km/j dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik kawalan, bilik persidangan, bilik solat, ruang makan, kabin kelas perniagaan, bilik multimedia dan tandas,” katanya. – UTUSAN
The post ECRL Kota Bharu-Gombak dijangka mula beroperasi Disember ini appeared first on Utusan Malaysia.




