
LONDON: Seramai 18 orang cedera, termasuk dua parah, selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir dari landasan di selatan England, menyebabkan penumpang terperangkap di dalam gerabak yang terbalik.
Pasukan ambulans, bomba dan polis dikerahkan dalam jumlah besar ke lokasi kejadian berhampiran Lewes di East Sussex, kira-kira 72 kilometer di selatan London.
Rakaman dari udara menunjukkan puluhan anggota pasukan penyelamat bertugas di sekitar kereta api yang tergelincir, dikelilingi kenderaan kecemasan, dengan tiga helikopter ambulans turut berada berhampiran lokasi.
Penolong Ketua Konstabel Polis Pengangkutan Britain, Ian Drummond-Smith berkata, kesemua penumpang di dalam kereta api berjaya dipindahkan dengan selamat. Kira-kira 150 orang berada di dalam kereta api berkenaan.
Punca tiga gerabak terakhir perkhidmatan Southern Rail dari London Victoria ke Eastbourne tergelincir dari landasan masih disiasat.
Gambar yang dimuat naik di media sosial kelihatan menunjukkan gerabak kereta api terbalik mengiring, dengan beberapa penumpang berdiri di atasnya.
Penumpang yang tidak memerlukan rawatan di hospital dibawa ke sebuah pusat komuniti berhampiran untuk mendapatkan sokongan lanjut.
Kejadian kereta api tergelincir itu berlaku ketika United Kingdom (UK) dilanda gelombang haba, dengan beberapa perkhidmatan kereta api dibatalkan manakala yang lain beroperasi pada kelajuan lebih rendah berikutan cuaca panas melampau.
Suhu di beberapa kawasan di selatan England mencecah 35 darjah Celsius atau 95 darjah Fahrenheit pada Khamis.
Network Rail sebelum ini memberi amaran suhu tinggi boleh menyebabkan landasan kereta api mengembang dan berisiko melengkung atau berubah bentuk.
“Apabila keluli menjadi panas, ia mengembang. Jika tiada ruang untuk landasan mengembang, ia boleh melengkung dan kami perlu menutup laluan berkenaan untuk melakukan pembaikan sebelum kereta api boleh kembali beroperasi,” jelas Network Rail dalam kenyataan di laman webnya.-AGENSI
The post 18 cedera kereta api penumpang tergelincir di selatan England appeared first on Utusan Malaysia.



![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN-1024x768.jpeg)


