ECRL memasuki fasa ujian integrasi sistem selepas kesemua 10 Stesen Penyuap 132kV diaktifkan

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 2:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL memasuki fasa ujian integrasi sistem selepas kesemua 10 Stesen Penyuap 132kV diaktifkan Image from: ECRL memasuki fasa ujian integrasi sistem selepas kesemua 10 Stesen Penyuap 132kV diaktifkan hamden11/08/2026 - 14:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini memasuki fasa ujian integrasi sistem pengoperasian susulan kejayaan melengkapkan pengaktifan kesemua 10 Stesen Penyuap 132kV bagi jajaran Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor.

 

Pencapaian terbaharu itu menandakan penyempurnaan penyediaan sistem bekalan kuasa utama yang menjadi tulang belakang kepada rangkaian rel elektrik ECRL, sekali gus memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan keseluruhan sistem menjelang pengoperasian komersial jajaran Kota Bharu-Gombak pada Januari 2027.

 

Pengaktifan terakhir membabitkan Stesen Penyuap 08 (Feeder Station 08) di Maran, Pahang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak bersama Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Deng Bo.

 

Turut hadir Ketua Pegawai Kanan Rangkaian Tenaga Nasional Bhd (TNB), Ir. Mahathir Nor Ismail; Ketua Pegawai Grid TNB, Ir. Hasmarizal Hassan; Pengarah Projek MRL, Ir. Noor Azlan Salleh serta pegawai kanan Projek ECRL dan wakil TNB.

 

Menurut Darwis, pengaktifan tenaga elektrik bagi keseluruhan jajaran Kota Bharu-Gombak merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan projek itu dan memperkukuhkan keyakinan bahawa ECRL dapat direalisasikan mengikut jadual perancangan.

 

“Pengaktifan tenaga elektrik Feeder Station 08 melengkapkan pengaktifan kesemua Stesen Penyuap 132kV bagi jajaran ECRL Kota Bharu-Gombak, seterusnya memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan Projek ECRL bagi memasuki fasa ujian integrasi sistem pengoperasian ECRL.

 

“Pencapaian ini turut mencerminkan dedikasi semua pihak yang terlibat dalam memastikan setiap komponen infrastruktur kritikal dapat memenuhi standard keselamatan dan kualiti tertinggi,” katanya dalam kenyataan.

 

ECRL
Pengaktifan tenaga elektrik Stesen Penyuap 08 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak (kiri) dan Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo (dua dari kiri) diiringi Ketua Pegawai Kanan Rangkaian TNB, Ir. Mahathir Nor Ismail (dua dari kanan) dan Timbalan Pengarah Projek (Sistem) MRL, Jeflysham Osman.

 

Bekalan elektrik yang stabil dan konsisten merupakan komponen asas bagi operasi sistem rel moden, khususnya untuk memastikan sistem elektrifikasi, semboyan, telekomunikasi, pusat kawalan operasi serta perkhidmatan tren ECRL dapat berfungsi dengan cekap dan selamat.

 

Untuk rekod, Feeder Station 06 di Kuantan Port City, Gebeng merupakan Stesen Penyuap pertama projek ECRL yang berjaya diaktifkan pada Disember 2025.

 

Dengan pengaktifan Feeder Station 08 hari ini, keseluruhan rangkaian bekalan kuasa utama bagi jajaran Kota Bharu-Gombak kini lengkap dan telah dihidupkan.

 

MRL berkata kejayaan itu merupakan hasil kerjasama antara MRL, CCCECRL dan TNB, selain sokongan Kerajaan-Kerajaan Negeri yang terlibat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian serta pelbagai agensi kerajaan dalam pelaksanaan jajaran ECRL.

 

MRL, syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOF (Inc.)], merupakan pemilik projek dan aset ECRL, manakala CCCECRL ialah kontraktor utama projek.

 

ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan negeri Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

 

Apabila beroperasi kelak, ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam berbanding sekitar tujuh jam menggunakan jalan raya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved