Prospek pendapatan ISF semakin positif dipacu projek pusat data memasuki fasa kerja hiliran - Apex Securities

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 12:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek pendapatan ISF semakin positif dipacu projek pusat data memasuki fasa kerja hiliran - Apex Securities Image from: Prospek pendapatan ISF semakin positif dipacu projek pusat data memasuki fasa kerja hiliran - Apex Securities hamden03/08/2026 - 12:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Apex Securities berkata pendedahan ISF Group Bhd kepada projek pusat data (DC) yang semakin berkembang akan menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan kumpulan, terutama apabila kitaran pembangunan pusat data Malaysia memasuki fasa kerja hiliran melibatkan pemasangan mekanikal, elektrikal, paip dan kerja berkaitan (M&E/MEP/piping fit-out).

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan menaikkan unjuran pendapatan ISF bagi FY26F dan FY27F masing-masing sebanyak 29.7% dan 28.4% kepada RM34.9 juta dan RM42.5 juta, selain memperkenalkan unjuran FY28F sebanyak RM48.8 juta.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan 'Beli' terhadap ISF dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM0.92 berbanding RM0.62 sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 21.5 kali ke atas EPS FY27F sebanyak 4.3 sen serta penarafan ESG tiga bintang.

 

Menurut Apex Securities, peningkatan prospek itu disokong oleh kontrak sub-kontrak sistem pembetungan dalaman pusat data berskala hiper bernilai RM14.5 juta yang diperoleh pada Jun 2026, selain saluran tender berkaitan DC yang meningkat kepada paras tertinggi sekitar RM500 juta.

 

"Daripada jumlah tersebut, kira-kira 60% atau RM300 juta adalah berkaitan projek DC, sekali gus menunjukkan potensi pertumbuhan yang lebih besar bagi segmen tersebut dalam tempoh akan datang.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan FY27F akan semakin dipacu oleh kemenangan kontrak DC yang mempunyai margin lebih tinggi, manakala FY28F akan mendapat manfaat daripada peningkatan sumbangan projek infrastruktur air dan pembetungan berskala besar termasuk inisiatif air tidak berhasil (NRW)," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Pusat Data Memasuki Fasa Hiliran

Apex Securities berkata, kitaran kontrak pusat data Malaysia dijangka berubah mulai separuh kedua 2026 (2H26F), dengan aktiviti pembangunan beralih daripada kerja pembinaan struktur utama kepada kerja pemasangan hiliran yang lazimnya bermula enam hingga 12 bulan selepas mobilisasi projek.

 

Trend penganugerahan kontrak sejak awal 2026 menunjukkan beberapa pusat data berskala hiper dan kolokasi yang mula dibangunkan pada penghujung 2025 kini memasuki fasa pemasangan peralatan dan sistem sokongan.

 

Walaupun ISF sebelum ini lebih perlahan menangkap peluang daripada aliran kerja tersebut, momentum syarikat sepanjang 2026 menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai RM47 juta setakat ini.

 

Kontrak berkenaan terdiri daripada empat sub-kontrak kediaman dan dua projek berkaitan DC, termasuk pakej pembetungan pusat data berskala hiper bernilai RM14.5 juta.

 

Apex Securities berkata, kemenangan kontrak tersebut berpotensi menandakan permulaan kitaran penggantian buku pesanan yang lebih kukuh bagi ISF pada 2H26F.

 

Pada masa sama, buku tempahan tertunggak ISF sekitar RM150 juta terus memberikan keterlihatan pendapatan, dengan skop DC kini menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah tersebut.

 

Potensi Kontrak DC Baharu

Dengan mengambil kira kadar kejayaan tender sebanyak 35% bagi tender berkaitan DC sahaja, firma itu menganggarkan ISF berpotensi memperoleh kontrak DC baharu bernilai sekitar RM105 juta pada 2H26F.

 

Perolehan tersebut dijangka meningkatkan lagi bahagian projek DC dalam buku tempahan kumpulan dan menyokong peningkatan sumbangan kerja margin tinggi kepada pendapatan FY27F.

 

Bagi FY28F, firma itu menjangkakan penggantian buku tempahan sebanyak RM180 juta, termasuk tambahan RM30 juta daripada projek infrastruktur air dan pembetungan serta inisiatif NRW. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved