ECRL: Pantai Timur perlu pastikan limpahan ekonomi kekal di wilayah sendiri - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL: Pantai Timur perlu pastikan limpahan ekonomi kekal di wilayah sendiri - Penganalisis Image from: ECRL: Pantai Timur perlu pastikan limpahan ekonomi kekal di wilayah sendiri - Penganalisis liza20/10/2026 - 09:00 Gambar hiasan janaan AI Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt –  Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang melalui jaringan rel baharu namun kejayaan projek itu tidak cukup diukur melalui kelajuan perjalanan atau jumlah penumpang, sebaliknya sejauh mana tambangnya mampu menarik pengguna dan infrastrukturnya menghasilkan pelaburan serta peluang ekonomi sebenar.

 

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Hazman Samsudin berkata tambang permulaan ECRL antara RM95 hingga RM110 bagi perjalanan sehala Gombak–Kuala Terengganu meletakkan perkhidmatan rel itu dalam persaingan dengan bas dan penerbangan sekali gus menjadikan masa perjalanan serta kos keseluruhan antara faktor penting kepada pengguna.

 

Beliau yang juga Pengarah Pusat Kemajuan Ekonomi Biru Universiti Malaysia Terengganu (UMT-Beacon), berkata walaupun ECRL bukan semestinya pilihan paling murah berbanding bas, perkhidmatan itu berpotensi menawarkan alternatif kepada pengguna yang mengutamakan tempoh perjalanan, kemudahan dan pilihan jadual, selain membuka peluang untuk merancakkan aktiviti ekonomi antara Pantai Timur dengan Lembah Klang.

 

Bagi laluan Gombak–Kuala Terengganu, perjalanan Ekspres diunjurkan mengambil masa sekitar dua jam 54 minit, manakala perkhidmatan Transit sekitar tiga jam 51 minit.

 

“Sebagai perbandingan, tiket bas Kuala Terengganu–Kuala Lumpur yang dipaparkan pada platform tempahan berada sekitar RM43 hingga RM69 bagi tarikh tertentu, manakala tambang penerbangan boleh berada sekitar RM97 hingga RM126 bagi beberapa tarikh pada November, bergantung pada syarikat penerbangan dan ketersediaan tiket.

 

“Perbandingan itu menunjukkan bahawa harga tiket sahaja tidak semestinya menentukan pilihan terbaik kerana pengguna turut perlu mengambil kira kos perjalanan ke lapangan terbang, bagasi dan pengangkutan ke destinasi akhir.

 

“Tambang ECRL menggunakan mekanisme harga dinamik, justeru pengguna perlu menyemak kadar sebenar mengikut tarikh dan waktu perjalanan sebelum membuat keputusan,” katanya kepada DagangNews.

 

t
Profesor Madya Dr Hazman Samsudin

 

ECRL rangsang perbelanjaan pelancong

Pembukaan ECRL kepada operasi komersial pada 12 Disember 2026 dijangka menambah pilihan perjalanan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang yang akan menggalakkan lawatan keluarga, perjalanan perniagaan, aktiviti membeli-belah dan kunjungan pelancong.

 

Peningkatan kunjungan berpotensi merangsang permintaan terhadap penginapan, pelancongan, kebudayaan, makanan, aktiviti rekreasi dan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Bagaimanapun, beliau berkata pertambahan penumpang tidak semestinya diterjemahkan secara langsung kepada peningkatan pendapatan perniagaan tempatan kerana sekiranya pelawat hanya singgah tanpa menginap atau berbelanja di premis setempat, limpahan ekonomi yang diterima mungkin terhad.

 

“Oleh itu, pembangunan pakej pelancongan, promosi destinasi dan penyediaan pengangkutan pengantara perlu diselaraskan supaya pelawat dapat mengakses tarikan tempatan dengan mudah serta terdorong untuk berbelanja lebih lama di destinasi yang dikunjungi,” katanya.

 

ECRL yang membabitkan jajaran sepanjang 523 kilometer dari Gombak ke Kota Bharu menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan perjalanan dianggarkan mengambil masa sekitar empat jam berbanding kira-kira tujuh jam melalui jalan raya dalam keadaan perjalanan biasa.

 

Penjimatan masa itu memberikan nilai ekonomi kepada pengguna kerana tempoh perjalanan yang lebih singkat boleh dimanfaatkan untuk urusan pekerjaan, perniagaan dan rekreasi, selain memudahkan pergerakan antara negeri.

 

Pada masa sama, beliau berkata hubungan pengangkutan yang lebih mudah ke Lembah Klang juga boleh menyebabkan sebahagian perbelanjaan penduduk Pantai Timur beralih ke luar wilayah, khususnya bagi aktiviti membeli-belah dan penggunaan perkhidmatan.

 

Keadaan itu menunjukkan bahawa manfaat ECRL bukan hanya bergantung pada keupayaannya membawa penumpang, tetapi turut ditentukan oleh daya tarikan perniagaan dan destinasi di sepanjang jajaran.

 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan dan Pelaburan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, Dr Suhaily Maizan Abdul Manaf berkata struktur tambang itu dilihat inklusif dan mesra rakyat, khususnya apabila turut menyediakan kemudahan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak, pesara kerajaan serta pelajar berumur 13 hingga 24 tahun.

 

Menurutnya, tambang yang berpatutan berpotensi meningkatkan permintaan perjalanan, sekali gus memperluas akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan, perniagaan dan pelancongan.

 

t
Dr Suhaily Maizan Abdul Manaf

 

Tambang kompetitif perlu disokong jaringan pengangkutan

Dr Suhaily berkata, keberkesanan ECRL bukan hanya bergantung pada kadar tambang dan tempoh perjalanan, tetapi turut memerlukan jaringan pengangkutan sambungan yang cekap.

 

Menurutnya, hubungan dengan bas pengantara, pengangkutan tempatan, kawasan perindustrian, pelabuhan dan destinasi pelancongan perlu dirancang supaya pengguna dapat meneruskan perjalanan ke destinasi akhir dengan lebih mudah.

 

“Integrasi tambang, jadual perjalanan dan maklumat pengangkutan juga berpotensi mengurangkan kos perjalanan keseluruhan, sekali gus menjadikan pengangkutan awam lebih menarik berbanding penggunaan kenderaan persendirian.

 

“Oleh itu, penyelarasan antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengendali pengangkutan penting bagi memastikan manfaat ECRL dapat dinikmati secara lebih menyeluruh, termasuk oleh penduduk di kawasan pinggir bandar dan luar bandar,” katanya kepada DagangNews.

 

Potensi sumbangan RM90 bilion kepada KDNK

Dari sudut pelaburan, ECRL berpotensi memudahkan akses kepada lokasi perniagaan dengan meningkatkan hubungan antara kawasan perindustrian, pusat logistik, bandar utama dan pasaran pengguna.

 

Projek itu diunjurkan menyumbang antara RM80 bilion hingga RM90 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) secara terkumpul menjelang 2047, dengan pembangunan 21 Projek Pemangkin Ekonomi sebagai antara pemacu pulangan ekonomi.

 

Antara kawasan yang dikenal pasti bagi pembangunan hab logistik ialah Pasir Puteh di Kelantan, Kemaman di Terengganu dan Temerloh di Pahang, yang berpotensi menyokong aktiviti pergudangan, pengedaran, pemprosesan serta perkhidmatan sokongan.

 

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa potensi itu perlu disusuli usaha menarik pelaburan sebenar, menyediakan tanah perindustrian dan kemudahan utiliti, selain menawarkan insentif bersasar bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta membangunkan rantaian bekalan tempatan.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved