ECRL perjalanan senyap dan tenang, 'Sedar-sedar dah sampai Kelantan'

12 Nov 2026 • 6:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL perjalanan senyap dan tenang, 'Sedar-sedar dah sampai Kelantan' Image from: ECRL perjalanan senyap dan tenang, 'Sedar-sedar dah sampai Kelantan' hamden12/11/2026 - 18:07 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - Selesa, cepat, dan selamat. Itu kesimpulan mudah yang boleh dibuat selepas diberi peluang menaiki tren Laluan Rel Pantai Timur (ECR) dari Stesen Gombak ke Kota Bharu, Kelantan.

 

Menaiki perkhidmatan ekspress ECRL hanya mengambil masa empat jam ke Kota Bharu selepas berhenti di dua stesen KotaSAS di Pahang dan dan Kuala Terengganu di Terengganu, bagi menurun dan mengambil penumpang.

 

Perjalanan saya bersama juruvideo Mohd Naim Aziz dan lebih 50 wakil media merupakan sebahagian operasi percubaan ECRL bagi menilai kecekapan perkhidmatan, pengurusan stesen serta pengalaman penumpang dalam keadaan operasi sebenar.

 

Keselesaan

Keselesaan yang diharapkan bermula sebaik kami berkumpul di Terminal Bersepadu Gombak. Ruang menunggu yang luas dilengkapi segala kemudahan asas memudahkan penumpang melakukan rutin harian seawal 615 pagi.

 

ECRL Media 1

 

Kemudahan asas seperti surau, tandas semuanya berada berhampiran. Maklumat perjalanan dipaparkan di papan digital besar, selain pengumuman dari semasa ke semasa memudahkan penumpang merancang pergerakan.

 

15 minit sebelum waktu bertolak kami dibenarkan memasuki tren. Selepas melepasi kaunter pelepasan di mana penumpang akan melakukan imbasan tiket, kami terus memasuki koc yang ditetapkan.

 

Terdapat dua kelas koc iaitu kelas perniagaan dan ekonomi yang dibezakan dengan susunan kerusi.

 

Kelas perniagaan empat kerusi sebaris, manakala kelas ekonomi, lima kerusi sebaris. Semua kerusi berkenaan boleh dilaras mengikut arah pergerakan tren.

 

ECRL Media 3

 

Kerusi kelas ekonomi

Sebaik duduk di kerusi kelas ekonomi itu, kelainan pertama yang dapat dirasai ialah keselesaan. Ruang kaki amat luas. Lebih luas daripada ruang kaki kerusi kapal terbang. Hendak renggang kaki tiada masalah. 

 

Sudah pasti ini akan memberi keselesaan kepada penumpang untuk tempoh perjalanan lama. Penumpang juga tidak perlu bimbang untuk melaraskan kerusi ke belakang, kerana ia tidak akan menjejaskan penumpang di belakang. Jika di kelas ekonomi sudah begitu, bagaimana pula keadaan di kelas perniagaan.

 

Di setiap baris kerusi disediakan dua plug 3 pin dilengkapi input USB, selain meja dan penyangkut baju.

 

Ketika sibuk 'mengkaji' keselesaan tempat duduk yang akan menjadi teman sepanjang empat jam perjalanan, tren mula bergerak tepat pukul 7.05 pagi.

 

ECRL Media 4

 

Dalam keheningan pagi, ia membelah persekitaran Gombak menuju Genting dengan penuh senyap dan tenang. Seolah-olah tidak bergerak, namun ketika mata melihat ke luar baru disedari tren terus bergerak sambil meningkatkan kelajuan menuju destinasi pertama stesen KotaSAS, Kuantan Pahang.

 

Selang sembilan minit perjalanan, kami memasuki terowong pertama daripada 40 terowong di sepanjang 665 kilometer jajaran ECRL. Dikenali Terowong Genting, ia merupakan terowong terpanjang sejauh 16.39 kilometer yang membelah Banjaran Titiwangsa bermula dari Genting sebelum keluar di Bukit Tinggi dalam tempoh hanya selama enam minit.

 

Keluar dari kegelapan terowong, pandangan disajikan dengan pelbagai keindahan alam. Dalam dibuai rasa takjub dan ketenangan alam hijau, tanpa disedari satu persatu stesen ECRL wilayah dilalui.  

 

Tenang dan selesa

Persekitaran koc yang selesa, perjalanan yang tenang, senyap tanpa ada banyak gangguan bunyi daripada sistem rel menjadikan pengalaman menaiki ECRL satu yang luar biasa.

 

Dengan ketenangan ini sudah pasti banyak yang boleh dilakukan penumpang jika mahu memanfaatkan tempoh perjalanan selama empat jam.

 

Sama ada mahu menyiapkan tugasan sebelum tiba di destinasi, atau memilih untuk menikmati rehat atau tidur mencukupi, perjalanan menaiki ECRL pilihan tepat.

 

ECRL Media 5

 

Penat duduk, penumpang boleh berehat di kafe sambil menikmati minuman dan makanan ringan yang dijual. Penumpang juga boleh memilih untuk menempah terus makanan ketika membeli tiket. Makanan akan dihantar terus kepada anda oleh krew tren yang merupakan bekas pramugari di syarikat penerbangan.

 

Semua itu dilakukan kerana ECRL mahu membawa kualiti perkhidmatan di udara ke dalam ECRL. Semua krew yang dilantik perlu menjalani latihan selama dua bulan, masing-masing satu bulan di Akademi Mas dan sebulan di China, bagi menyesuaikan diri dengan kemudahan koc.

 

Kemudahan selari keperluan penumpang

Demi memastikan keselesaan penumpang pelbagai kemudahan disediakan seperti tandas yang luas, ruang simpanan barang, sinki dan surau pada keluasan yang memadai untuk menunaikan tanggungjawab agama dengan selesa. 

 

Semua kelebihan ini menjadikan masa empat jam berlalu tanpa disedari. Pada kelajuan purata 160 kilometer sejam, tempoh perjalanan antara satu destinasi ke satu distinasi berlalu sangat pantas tanpa disedari. Sedar-sedar sudah sampai.

 

Bermula dengan perhentian di stesen KotaSAS, sebelum berhenti seketika di Chukai dan Kuala Terengganu. Kami tiba di destinasi akhir Stesen Kota Bharu, kira-kira pukul 11.10 pagi selepas melalui perjalanan yang lancar, tenang dan selamat. 

 

ECRL Media 2

 

Stesen Kota Bharu terletak di Tunjong kira-kira 20 minit perjalanan menaiki kereta ke pusat bandar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved