Kelantan rancang hab industri dan logistik sekitar stesen ECRL Pasir Puteh

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 4:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelantan rancang hab industri dan logistik sekitar stesen ECRL Pasir Puteh Image from: Kelantan rancang hab industri dan logistik sekitar stesen ECRL Pasir Puteh liza04/11/2026 - 16:52 Stesen ECRL Pasir Puteh Kelantan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Kerajaan Negeri Kelantan akan membangunkan kawasan sekitar stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Cherang Tuli, Pasir Puteh sebagai hab industri dan logistik bagi menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

 

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perancangan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan industri yang boleh memanfaatkan kemudahan pengangkutan rel, khususnya bagi urusan penghantaran dan pengedaran barangan.

 

Menurutnya, antara sektor yang dikenal pasti ialah industri pemprosesan, makanan, agroindustri, pergudangan serta aktiviti tambah nilai yang membolehkan hasil pertanian dan bahan mentah dari Pasir Puteh diproses terlebih dahulu sebelum dipasarkan ke kawasan lebih luas.

 

“Pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan ECRL bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, sebaliknya turut merangsang kegiatan ekonomi di kawasan yang dilaluinya.

 

“Ini membolehkan bahan mentah dari Pasir Puteh dan kawasan sekitarnya diproses secara tempatan sebelum dihantar ke pasaran lebih luas,” katanya menjawab soalan Nor Asilah Mohamed Zin (PAS-Limbongan) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk memastikan Pasir Puteh turut menikmati manfaat ekonomi daripada pembangunan ECRL pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

 

Tok Bali dikenal pasti sebagai hab logistik

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut mengenal pasti potensi pembangunan hab logistik dan cadangan pelabuhan darat di Bandar Baru Tok Bali bagi menyokong aktiviti perdagangan serta pengedaran barangan.

 

Mohamed Fadzli berkata, pembangunan sektor berkenaan perlu disokong dengan kemudahan infrastruktur mencukupi, termasuk rangkaian jalan raya, kawasan pergudangan, pusat pengumpulan dan pengedaran serta kemudahan logistik penghantaran akhir.

 

Kemudahan itu penting bagi memastikan syarikat dan pengusaha tempatan dapat menggunakan infrastruktur ECRL untuk mengembangkan operasi perniagaan masing-masing.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mahu memastikan manfaat ekonomi daripada pembangunan berkenaan tidak hanya dinikmati syarikat besar dari luar, sebaliknya turut memberi ruang kepada usahawan dan penduduk setempat untuk menyertai rantaian perniagaan.

 

Antara peluang yang boleh dimanfaatkan termasuk perkhidmatan pengangkutan, pembungkusan, penyimpanan, penyelenggaraan, katering serta pembekalan barangan dan perkhidmatan kepada sektor industri.

 

Penduduk tempatan diberi peluang sertai pertumbuhan industri

Selain pembangunan fizikal, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada peningkatan kemahiran belia di Pasir Puteh supaya mereka dapat mengisi peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan menerusi perkembangan industri dan logistik.

 

Menurutnya, peluang pekerjaan berkenaan bukan hanya tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah, malah merangkumi bidang pengurusan gudang, operasi teknikal, penyelenggaraan, operasi rel, teknologi dan pengurusan industri.

 

Usaha itu diharap dapat memastikan penduduk tempatan turut mendapat manfaat secara langsung daripada pertumbuhan ekonomi yang dicetuskan oleh pembangunan ECRL, termasuk melalui peningkatan pendapatan dan peluang mengembangkan perniagaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved