ECRL uji kesiapsiagaan kecemasan menjelang operasi Disember 2026

LocalCars
11 Nov 2026 • 4:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL uji kesiapsiagaan kecemasan menjelang operasi Disember 2026 Image from: ECRL uji kesiapsiagaan kecemasan menjelang operasi Disember 2026 hamden11/11/2026 - 16:09 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov – ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), syarikat yang mengendalikan dan menyelenggara perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), melaksanakan latihan kecemasan EX-GADING 2026 di Stesen ECRL KotaSAS, Kuantan, sebagai persediaan menjelang permulaan operasi perkhidmatan itu pada Disember 2026.

 

Latihan yang julung kali diadakan itu bertujuan menguji keberkesanan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) EOSB, selain menilai keupayaan tindak balas kecemasan serta penyelarasan operasi kereta api sekiranya berlaku insiden tidak dijangka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif EOSB, Mohd Zaidi Sharif berkata, latihan berkenaan merupakan langkah penting bagi memastikan syarikat itu bersedia menghadapi situasi kecemasan dengan tindak balas yang teratur, pantas dan berkesan.

 

ECRL Latihan 01

 

Beliau berkata, aspek kelancaran operasi dan keselamatan penumpang menjadi keutamaan EOSB, justeru latihan secara praktikal itu membolehkan pihaknya menguji prosedur kecemasan, mengenal pasti ruang penambahbaikan serta memperkukuh koordinasi dengan agensi berkaitan.

 

"Melalui EX-GADING 2026, kami dapat menguji prosedur kecemasan secara praktikal, mengenal pasti ruang penambahbaikan serta memperkukuh koordinasi bersama agensi-agensi berkaitan.

 

"Usaha ini penting bagi memastikan setiap pihak memahami peranan dan tanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kecemasan semasa perkhidmatan ECRL beroperasi," katanya dalam kenyataan.

 

ECRL Latihan 02

 

Simulasi tren tergelincir

EX-GADING 2026 mengetengahkan simulasi penggelinciran tren penumpang elektrik atau Electrical Multiple Unit (EMU) enam gerabak di Stesen ECRL KotaSAS, yang berfungsi sebagai stesen utama ECRL di Pahang.

 

Senario itu dirangka bagi menguji pelbagai aspek pengurusan kecemasan termasuk pengaktifan tindak balas kecemasan, penyelarasan menerusi Pusat Kawalan Operasi (OCC), kawalan keselamatan operasi kereta api dan pengasingan bekalan kuasa elektrik.

 

ECRL Latihan 03

 

Latihan itu turut menilai keberkesanan komunikasi antara agensi, tempoh tindak balas serta operasi pemindahan penumpang dan menyelamatkan mangsa.

 

Pelaksanaan latihan berkenaan melibatkan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan serta pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa, pasukan keselamatan dan kecemasan serta warga kerja EOSB.

 

Antara agensi yang terlibat secara langsung ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). - DagangNews.com

 

ECRL Latihan 04

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved