
KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memerlukan kira-kira 1,800 tenaga kerja asas dan pakar ketika fasa operasi, dengan sekurang-kurangnya 80 peratus jawatan perlu diisi rakyat Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan bukan sahaja berperanan sebagai mod pengangkutan penumpang, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di sepanjang laluannya.
“Kerajaan turut melaksanakan program pembangunan modal insan, termasuk Program Latihan Khidmat Industri (PLKI), bagi membantu penduduk setempat membuat persediaan menghadapi peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anthony, struktur tambang ECRL menggunakan mekanisme tambang dinamik yang mengambil kira waktu perjalanan, tempoh pembelian tiket serta pilihan kelas tempat duduk bagi menawarkan kadar kompetitif dan berpatutan.
Katanya, cadangan pakej tambang keluarga, kumpulan dan pas perjalanan untuk pengguna kerap masih dalam pertimbangan dan akan diperkenalkan oleh syarikat pengendali, ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSB), dari semasa ke semasa.
Bagi memudahkan pergerakan penumpang, setiap stesen ECRL dilengkapi jalan masuk utama dan kawasan turun naik penumpang bagi menyokong perkhidmatan teksi, e-hailing serta bas.
“Pihak pengendali turut mengadakan perbincangan dengan pengusaha bas, manakala perkhidmatan MyBas akan disediakan di stesen terpilih menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Pembangunan akses jalan raya, kemudahan logistik dan jaringan pengangkutan tempatan perlu dirancang secara bersepadu oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi memastikan penduduk mendapat manfaat maksimum daripada projek itu,” jelasnya.
Di Terengganu, Stesen ECRL Kuala Terengganu dikenal pasti sebagai lokasi strategik kerana kawasan tadahannya merangkumi Kuala Terengganu, Kuala Berang serta bandar tempatan seperti Wakaf Tapai, Bukit Payong, Ajil, Cenering dan Marang.
Kawasan berkenaan berada dalam lingkungan masa perjalanan kurang 30 minit ke stesen, sekali gus berpotensi meningkatkan akses penduduk kepada perkhidmatan rel dan pusat ekonomi.
Bagi menyokong pembangunan di sepanjang jajaran itu, kerajaan melaksanakan kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PeGTaECRL) untuk mengenal pasti potensi pembangunan serta projek pemacu ekonomi di sekitar stesen.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan melalui Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) akan meneruskan penyelarasan bersama kerajaan negeri Kelantan dan pihak berkepentingan bagi memuktamadkan jajaran sambungan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Anthony berkata, penyelarasan itu merangkumi keperluan teknikal, pengambilan tanah dan perancangan pelaksanaan sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Sambungan tersebut dijangka memperkukuh rangkaian rel negara, meningkatkan pergerakan penumpang dan kargo serta merancakkan perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. – KOSMO! ONLINE.
The post ECRL sasar 1,800 pekerja, 80 peratus rakyat Malaysia appeared first on Kosmo Online.






