
JOHOR BAHRU – Siasatan polis mendapati kanak-kanak berusia tujuh tahun yang ditemui maut terjatuh dari tingkat 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana Fasa II, Taman Sutera Ros di sini semalam ketika mangsa bermain kejar-kejar bersama beberapa rakannya yang lain.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang semalam, mangsa, Mohammad Adib Rizqy Mohammad Fauzi ditemukan terbaring di atas tanah di bawah bangunan flat berkenaan oleh penduduk setempat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang bermain kejar-kejar bersama beberapa kanak-kanak lain di koridor tingkat 10 sebelum kejadian.
Menurutnya, mangsa dipercayai menggunakan sebuah basikal untuk memanjat tembok koridor sebelum terjatuh dari tingkat berkenaan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, tangan dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang tiba di lokasi kejadian.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan berganda disebabkan terjatuh dari tempat tinggi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azrol berkata, polis sudah mengenal pasti dan merakam percakapan empat saksi yang menyaksikan kejadian itu bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan,”katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi pergerakan serta aktiviti anak-anak, terutama ketika bermain di kawasan kediaman bertingkat.
Orang ramai turut diingatkan supaya memastikan kanak-kanak tidak memanjat atau bermain berhampiran tingkap, balkoni, koridor dan kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-KOSMO! ONLINE
The post Jatuh tingkat 10: Mangsa main kejar-kejar sebelum panjat tembok appeared first on Kosmo Online.





![[KEMASKINI] Mohammad Adib tak sempat sambut hari jadi bersama bapa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-23-at-22.08.37-1024x576.jpeg)
