Edar dadah: Dua penjawat awam antara 7 suspek ditahan

28 Mar 2023 • 1:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Tujuh suspek pengedar dadah, termasuk dua penjawat awam diberkas dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada 20 dan 21 Mac lepas.

Sejumlah 1,280.90 gram syabu dianggarkan bernilai RM130,000 turut dirampas. Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, lima suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun ditahan di sebuah kawasan perumahan di bandar ini sekitar jam 2 pagi pada 20 Mac lalu (Isnin).

Menurutnya, lima suspek warga tempatan itu berada di dalam sebuah kereta dan hasil pemeriksaan, polis menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 103.4 gram.

“Kesemua suspek ini didapati positif syabu dan amfetamin. Salah seorangnya mempunyai lapan rekod jenayah dan empat rekod dadah, sementara suspek lain masing-masing mempunyai satu hingga empat rekod dadah,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, pada Isnin. Tangkapan itu, katanya, membawa kepada penahanan dua penjawat awam berusia 34 dan 36 tahun ditahan sekitar jam 12.30 tengah malam pada 21 Mac (Selasa) di bandar Tawau.

“Semasa serbuan, kedua-dua suspek berada di dalam sebuah kenderaan dan cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan polis. Hasil pemeriksaan kenderaan itu menemukan lima bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat 1,177.50 gram,” katanya, menambah kedua-dua suspek diuji negatif dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 April depan untuk siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

Jasmin berkata, tangkapan dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah bersama JSJN IPD Tawau, hasil risikan maklumat dadah.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati dua kumpulan itu dipercayai memperoleh dadah daripada sumber sama, dan untuk pasaran tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, IPD Tawau memberi penekanan operasi agresif dalam menangani isu pengedaran dan penyalahgunaan dadah dan setakat ini sudah lebih 11 kilogram (kg) dadah dirampas menerusi pelbagai tangkapan pada tahun ini, setakat Mac.

Justeru, beliau amat mengalu-alukan orang awam memberikan maklumat berkaitan kepada talian IPD Tawau (089-752222) atau menerusi laman sesawang Polis Daerah Tawau.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.