Edar produk air minuman ke seluruh 99 Speed Mart Sabah, hasil Life Water diramal naik RM12 juta setahun - RHB Research

11/09/2025 - 17:06
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Sept - Hasil Life Water Berhad diramal bertambah RM12 juta setahun selepas kumpulan itu memulakan pengedaran produknya ke semua cawangan 99 Speed Mart di Sabah bermula September 2025, sekali gus menjadi pelanggan terbesar kumpulan itu.
RHB Research berkata, langkah itu adalah susulan keperluan 99 Speed Mart bagi mendapatkan bekalan air minuman yang lebih konsisten dan dalam kuantiti besar, sesuatu yang gagal dipenuhi pesaingnya dalam industri.
Katanya, keupayaan kumpulan memenuhi permintaan itu disokong kapasiti pengeluaran semasa dan lokasi kilangnya yang strategik berhampiran pusat pengedaran 99 Speed Mart di Sabah.
"Dengan lebih 260 cawangan di seluruh negeri ia akan melonjakkan hasil tahunan kumpulan kepada RM12 juta atau bersamaan 7% daripada jualan FY25.
"Potensi ini menjadikan 99 Speed Mart pelanggan utama kumpulan, mengukuhkan kedudukan Life Water sebagai peneraju pasaran minuman berbungkus di Sabah," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, Life Water sedang menyaksikan peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia ada, didorong oleh daya tarikan sebagai pilihan hidrasi yang mudah serta disokong pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, urbanisasi pesat dan kesedaran kesihatan serta kebersihan yang semakin meningkat.
Katanya, peningkatan itu hadir seiring dengan penguasaan pasaran yang lebih kukuh serta kejayaan memperoleh pelanggan baharu.
RHB Research berkata, perkembangan itu dilihat sebagai pemangkin utama kepada prospek pertumbuhan syarikat, dengan kelebihan logistik yang memastikan penghantaran lebih pantas dan cekap berbanding pesaing.
Life Water ketika ini sedang melaksanakan strategi pengembangan agresif termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran serta peluasan pasaran ke Sarawak, Labuan dan Brunei, selain meneroka produk baharu seperti minuman berperisa dan air mineral.
"Kami tidak memberikan sebarang penarafan terhadap kumpulan itu tetapi memberikan nilai wajar (FV) RM1.12 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
