Hasil MBM Resources diramal kukuh dipacu tempahan tertunggak Perodua - Kenanga

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2025 • 4:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil MBM Resources diramal kukuh dipacu tempahan tertunggak Perodua - Kenanga

image is not available

08/09/2025 - 16:17

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - MBM Resources Berhad diramal terus menikmati keterlihatan pendapatan yang kukuh, disokong jumlah tempahan tertunggak kenderaan Perodua, menurut Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata, Perodua mempunyai baki tempahan melebihi 94,000 unit dan menyasarkan jualan sebanyak 345,000 unit tahun ini.

Katanya, mereka juga menyukai MBM sebagai proksi kukuh kepada jenama Perodua dalam pasaran, memandangkan kumpulan itu merupakan pengedar Perodua terbesar di Malaysia.

Selain itu, MBM memegang 23% kepentingan dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, pengeluar kenderaan Perodua.

Firma penyelidikan itu turut menekankan hasil dividen menarik MBM sekitar 10%, sambil mengekalkan saranan “outperform” dengan harga sasaran (TP) RM6.90, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) lapan kali unjuran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2025 (FY25).

Penilaian itu mewakili diskaun berbanding purata PER hadapan sektor automotif sebanyak 11 kali, disebabkan skala MBM yang lebih kecil.

Kenanga Research berkata, diskaun itu juga mencerminkan model perniagaan MBM yang lebih tertumpu kepada pengedaran automotif, berbanding pemain lain dalam sektor ini yang lebih menekankan kepada pembuatan.

Firma penyelidikan itu berkata, kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) baharu Perodua dijangka memulakan pra-pengeluaran pada September 2025, dengan pengeluaran besar-besaran bermula pada suku keempat tahun ini.

"Bagi fasa awal, jumlah pengeluaran akan dihadkan kepada 500 unit sebulan sebagai sebahagian daripada strategi pelaksanaan berperingkat.

"Jumlah rendah pada peringkat awal ini membolehkan Perodua dan vendor tempatan membina kepakaran sebelum meningkatkan kapasiti pengeluaran melebihi 2,000 unit sebulan untuk pengeluaran besar-besaran," katanya.

Perodua menyasarkan kandungan pemasangan tempatan melebihi 30% pada peringkat awal, dengan rancangan untuk meningkatkannya kepada lebih 60% apabila lebih banyak komponen kritikal.

Kemudahan baharu itu terletak di Sungai Choh, Rawang, bersebelahan dua kilang pembuatan syarikat itu sekarang.

Penubuhan kemudahan EV baharu itu sejajar dengan matlamat kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara sebagai hab pengeluaran EV mampu milik di bawah Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).- DagangNews.com

standard