Pharmaniaga diyakini jana hasil sehingga RM400 juta selepas produk biofarmaseutikal dikomersialkan sepenuhnya pada 2028, kata Kenanga

04/09/2025 - 11:45
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 4 Sept - Kilang biofarmaseutikal milik Pharmaniaga Berhad diyakini menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan, dengan sasaran hasil tahunan sebanyak RM300 juta hingga RM400 juta sebaik sahaja keseluruhan rantaian produk dikomersialkan sepenuhnya menjelang 2028.
Kenanga Research berkata, berdasarkan margin bersih sebanyak 6%, perniagaan biofarmaseutikal berpotensi menyumbang untung bersih antara RM18 juta hingga RM24 juta bersamaan 27% hingga 36% daripada unjuran keuntungan bersih FY26.
Katanya, Pharmaniaga kini giat memperkukuh kedudukan dalam pasaran insulin, setelah memenangi tender daripada tiga hospital pengajian dan menyasarkan empat lagi menjelang 2026.
"Kumpulan itu juga telah menyertai tender nasional bernilai RM400 juta oleh Kementerian Kesihatan bagi membekalkan insulin untuk tempoh tiga tahun, dengan bekalan dijangka bermula pada akhir 2025 atau awal FY26.
"Usaha pengeluaran insulin secara domestik berjalan lancar, dengan sembilan kelompok pengesahan proses pembuatan berjaya disiapkan pada Mei 2025.
"Bahagian farmaseutikal turut memperluas penawaran produk dengan pelancaran Entecavir dan Tadalafil, mengukuhkan portfolio dalam bidang anti-jangkitan dan urologi," katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research berkata, dalam jangka terdekat, Pharmaniaga menjangkakan prestasi lebih kukuh daripada unit bekalan perubatannya, yang mencatatkan prestasi lebih lemah pada 2QFY25.
Katanya, tempahan dijangka meningkat pada 3QFY25, didorong pengaktifan produk baharu di bawah Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL). Pada masa ini, Pharmaniaga membekalkan 840 produk APPL, dengan jumlah tersebut dijangka melebihi 1,000 menjelang akhir 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan optimis terhadap pertumbuhan jualan volum sebanyak 10%–12% tahun ke tahun pada 3QFY25 dan 4QFY25, meskipun suku keempat lazimnya merupakan tempoh paling perlahan.
Penambahbaikan campuran produk di bawah APPL serta kawalan lebih ketat terhadap unit penyimpanan stok (SKU) bergerak pantas dan pengurangan stok perlahan turut dijangka meringankan keperluan modal kerja.
"Walaupun prospek jangka pendek kumpulan masih bergantung kepada trend perolehan kerajaan, trajektori pertumbuhan jangka panjangnya semakin dipacu oleh kilang biofarmaseutikal, yang berpotensi menyumbang lebih separuh daripada perolehan kontrak kumpulan apabila dikomersialkan sepenuhnya," katanya.
Kenanga Research mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) 15 sen sesaham.- DagangNews.com
standard

