
LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memuji impak pemain muda, Max Dowman untuk bantu pasukan mara ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) selepas menewaskan Ipswich Town 4-2, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Dowman yang berusia 17 tahun itu mencuri tumpuan apabila meledak dua gol dengan dua lagi jaringan dilakukan oleh Noni Madueke dan Mikel Merino.
Arteta mengakui persembahan Dowman cukup padu apabila berjaya beraksi dengan intensiti yang diperlukan dalam saingan tertinggi bola sepak di England.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol mahu Dowman terus memperbaiki aspek tertentu terutama ketika kehilangan bola supaya dapat diberikan lebih banyak peluang musim ini.
“Saya gembira melihat Dowman dan Marli (Salmon), masing-masing berusia 17 tahun tetapi mampu bermain pada tahap serta intensiti seperti ini. Ia sesuatu yang luar biasa.
“Dowman mampu mencipta detik penting dengan begitu mudah. Dari segi pertahanan juga, dia menunjukkan komitmen dan kemampuan mengekalkan prestasi sepanjang permainan, sesuatu yang bukan mudah pada usia muda,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan, Arteta mengakui pasukannya mendominasi penuh sehingga berjaya meledak empat gol pada 60 minit pertama.
“Pemain tunjukkan prestasi yang baik dengan melakukan serangan dan dua gol awal yang dijaringkan memberi keyakinan tambahan buat pasukan,” katanya. – AGENSI
The post EFL: Arsenal kekal rekod cemerlang appeared first on Kosmo Online.


