
KUALA LUMPUR - Seorang ejen hartanah yang disyaki menikam kenalan wanitanya di bahagian leher dalam sebuah kereta di Titi Gajah, Alor Setar 17 Mei lalu tiba di Mahkamah Sesyen pagi ini untuk didakwa.
Lelaki berusia 32 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan menaiki van polis kira-kira jam 8.36 pagi.
Dia dijangka didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang juga ibu tunggal kepada dua anak cedera parah di leher selepas ditikam oleh kenalan lelakinya di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah kira-kira jam 9.19 malam pada 17 Mei.
Kejadian itu berlaku di dalam sebuah kereta Mazda dengan mangsa berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek berada di tempat duduk penumpang hadapan.
Suspek yang melarikan diri selepas kejadian berjaya ditahan ketika bersembunyi di sebuah masjid di Taman Uda kira-kira jam 1.50 pagi pada 18 Mei.
Suspek dan mangsa dikatakan sudah saling mengenali lebih setahun kerana masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah.
Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu atau cinta tidak berbalas.
Sebilah pisau Rambo yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemukan polis di kawasan sawah padi kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian selepas suspek menunjukkan lokasi berkenaan. – Getaran, 26 Mei 2026





