Ejen hartanah tikam ibu tunggal tiba di mahkamah, didakwa hari ini

LocalPolitics
26 May 2026 • 10:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ejen hartanah tikam ibu tunggal tiba di mahkamah, didakwa hari ini
Tertuduh dibawa menaiki van polis dan tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.36 pagi pada Selasa.

ALOR SETAR - Seorang ejen hartanah yang disyaki menikam kenalan wanitanya dalam kejadian di Titi Gajah pada 17 Mei lalu tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini bagi menghadapi pertuduhan hari ini.

Lelaki berusia 32 tahun itu yang juga seorang duda dibawa menaiki van polis dan tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.36 pagi.

Tertuduh dijangka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ditikam di leher oleh lelaki dikenali

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, hukuman penjara boleh mencecah sehingga 20 tahun.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita yang juga ibu tunggal kepada dua anak cedera parah di bahagian leher akibat ditikam seorang kenalan lelaki di dalam sebuah kereta di hadapan restoran di Jalan Titi Gajah kira-kira jam 9.19 malam, 17 Mei lalu.

Kejadian berlaku di dalam kereta jenis Mazda ketika mangsa berada di tempat duduk pemandu manakala suspek duduk di bahagian penumpang hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemburu dipercayai punca duda tikam leher wanita dalam kereta

Wanita cedera ditikam selamat jalani pembedahan 10 jam

Suspek dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian sebelum berjaya ditahan polis ketika bersembunyi di kawasan masjid di Taman Uda kira-kira jam 1.50 pagi keesokan harinya.

Siasatan mendapati suspek dan mangsa saling mengenali sejak lebih setahun lalu kerana bekerja sebagai ejen hartanah.

Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu atau cinta tidak berbalas.

Polis turut menemukan sebilah pisau rambo yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu di kawasan sawah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian selepas dipandu arah oleh suspek.

View Original Article