Ekonomi digital berpotensi pacu KDNK kepada 25.5% menjelang 2025 - PM Anwar

PoliticsBusiness & Finance
6 Nov 2023 • 3:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi digital berpotensi pacu KDNK kepada 25.5% menjelang 2025 - PM Anwar

zulfadli

06/11/2023 - 15:42

KUALA LUMPUR 6 Nov - Kerajaan mengunjurkan sumbangan ekonomi digital negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak kepada 25.5% menjelang 2025 berbanding 23.2% ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, transformasi digital adalah strategi utama untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang berjaya.

"Ekonomi digital kita berdiri sebagai salah satu tonggak ekonomi utama Malaysia, kini menyumbang 23.2% yang besar kepada KDNK negara kita.

"Kami mengunjurkan bahawa angka ini akan melonjak kepada 25.5% (daripada KDNK) menjelang 2025," katanya berucap melancarkan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023) di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, pada suku ketiga tahun lalu saja, ekonomi digital menjana AS$15.7 bilion (RM73.24 bilion) dalam pelaburannya, mengukuhkan statusnya sebagai salah satu sektor yang paling pesat berkembang.

"Usaha ditumpukan menerusi inisiatif strategik nasional Malaysia Digital (MD) pada sembilan sektor penting iaitu perdagangan, pertanian, perkhidmatan, bandar pintar, penjagaan kesihatan, kewangan, kandungan, pelancongan dan ekonomi digital Islam.

image is not available
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap melancarkan Malaysia Digital Expo 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 6 November 2023. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

"Sektor yang digalakkan ini mempunyai potensi pertumbuhan besar, menawarkan banyak peluang serta penting dalam memacu peralihan Malaysia kepada ekonomi digital," katanya.

Beliau berkata, ketika membentangkan Belanjawan 2024, ia juga direka untuk memacu pertumbuhan inovasi digital dan teknologi generasi akan datang, sekali gus meletakkan Malaysia teguh di landasan untuk menjadi ekonomi yang dipacu inovasi.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan transformasi digital yang dianggap bidang baharu bagi sesetengah pihak, tidak seharusnya meminggirkan penduduk di kawasan pendalaman dan miskin bandar, lapor Berita Harian.

"Transformasi digital ini seolah-olah kita sedang menggapai langit baharu. Bukan saja meneroka yang baharu, tapi menggapai yang baharu. (Bidang) mencabar, yang belum selesa dalam kalangan segelintir rakyat.

"Sebab itu, kita bicara tentang penglibatan ramai, supaya dalam menggapai langit itu, ia tidak meninggalkan rakyat dibawah terutama di kawasan pedalaman dan miskin bandar," katanya. - DagangNews.com