‘Ekonomi-konsert’ langkah ke belakang, Syahir bidas Pemuda DAP

LocalPolitics
6 May 2026 • 3:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Ekonomi-konsert’ langkah ke belakang, Syahir bidas Pemuda DAP
Mohd Syahir Che Sulaiman

SHAH ALAM - Cadangan Pemuda DAP (DAPSY) membangunkan model ‘ekonomi-konsert’ di Malaysia disifatkan sebagai satu pemikiran dangkal dan langkah ke belakang yang boleh merosakkan nilai masyarakat.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, sektor pelancongan sewajarnya mempamerkan keindahan alam, keunikan budaya dan keunggulan bakat yang banyak terdapat di negara ini.

“Dari Perlis hingga ke Sabah, Malaysia mempunyai 1001 elemen pelancongan untuk ditawarkan dari seni, kebudayaan, warisan, ekologi, kesihatan, bisnes, sukan hingga perubatan secara lestari dan tersendiri.

“Maka tidak wajar aktiviti pelancongan mengundang budaya ‘hedonisme’, konsert liar, mabuk, dadah dan aksi ‘erotik’ melampau yang banyak berlaku di tempat mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Media pada Isnin melaporkan, Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong memuji Festival Muzik Air 2026 yang diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Beliau menyifatkan penganjuran itu sebagai kejayaan besar dalam meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa dan menyuntik momentum baru terhadap sektor pelancongan.

Jelasnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) harus merebut peluang perkukuh pembangunan model "ekonomi-konsert" bagi menjamin kedudukan Malaysia yang kompetitif dalam industri pelancongan hiburan dunia.

Dalam pada itu, Mohd Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas mempersoalkan bilangan angka jutaan ringgit yang dicanangkan oleh pihak penganjur sebelum ini dengan status ‘tidak dapat disahkan’.

“Jangan sampai mengejar untung secupak, akhirnya rugi segantang. Sekira-kira pertimbangan kami, cadangan DAP ini lebih banyak membawa kesan negatif terhadap negara, institusi keluarga, dan generasi muda,” katanya lagi.

Justeru, beliau melontarkan cabaran kepada barisan kepimpinan DAPSY untuk bersemuka dengannya dalam satu sesi perdebatan terbuka.

“Sayugia bagi mengelakkan polemik ini terus berlarutan, moleklah perkara ini diperdebatkan secara terbuka,” ujarnya.