Prestasi luar jangka KDNK bukti reformasi ekonomi berkesan

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 7:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Prestasi luar jangka KDNK bukti reformasi ekonomi berkesan

PUTRAJAYA – Prestasi luar jangka keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada suku kedua tahun 2026 (S2 2026) membuktikan reformasi kerajaan di bawah kerangka Ekonomi Madani telah membantu mengurangkan kesan gangguan bekalan global terhadap rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis Asia Barat menggugat rantaian bekalan dan ekonomi dunia, namun kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk melindungi rakyat dan perniagaan.

Kata beliau, antaranya ialah menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar agar rakyat dan perniagaan terlindung daripada tempias kejutan ekonomi dari luar.

“Ikhtiar ini membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah, merancakkan kegiatan perniagaan serta mempertahankan momentum pertumbuhan pada S2 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia terus mencatat prestasi luar jangka bagi tiga suku berturut-turut dan berkembang sebanyak enam peratus pada suku kedua tahun 2026 (S2 2026) berbanding 5.4 peratus direkodkan pada suku sebelumnya, meskipun mendepani kejutan bekalan global yang telah menjejaskan ekonomi dunia.

Permintaan domestik yang berdaya tahan dan sektor luar negeri yang rancak memacu pertumbuhan KDNK untuk melepasi anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8 peratus.

Prestasi ini merupakan yang paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014.

Pencapaian S2 2026 telah menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun 2026 sebanyak 5.7 peratus, sekali gus meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh kerajaan iaitu antara empat peratus hingga lima peratus bagi tahun 2026.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penggunaan swasta berkembang sebanyak 4.8 peratus didorong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi bagi restoran dan hotel, pengangkutan serta makanan dan minuman berikutan sambutan perayaan, cuti sekolah pertengahan tahun dan aktiviti berkaitan pelancongan yang berterusan.

Katanya, pelaburan swasta dan awam juga kekal berkembang disokong oleh pelaburan berterusan dalam sektor teknologi dan pelaksanaan infrastruktur utama di seluruh negara.

“Kendatipun gangguan rantaian bekalan telah meningkatkan tekanan harga di seluruh dunia, inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.9 peratus pada S2 2026.

“Pada masa sama, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah serta subsidi bersasar menerusi Budi Madani terus disalurkan bagi mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan yang paling terkesan dek kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Menurut Anwar, pasaran buruh Malaysia kekal menyokong permintaan domestik sepanjang suku tersebut dengan guna tenaga meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 16.8 juta orang manakala kadar pengangguran direkodkan sebanyak tiga peratus.

Katanya, sektor luar negeri turut merekodkan prestasi kukuh disokong oleh permintaan yang tinggi bagi produk elektrik dan elektronik serta produk petroleum. – KOSMO! ONLINE

The post Prestasi luar jangka KDNK bukti reformasi ekonomi berkesan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved