hamden14/08/2026 - 12:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas daripada jangkaan pada suku kedua 2026 (2Q26), dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.0% didorong perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan dan eksport yang kukuh, meskipun berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Prestasi itu mengatasi anggaran awal 5.8% serta pertumbuhan 5.4% yang dicatatkan pada suku pertama 2026. Berdasarkan pelarasan bermusim, ekonomi berkembang 2.5% pada 2Q26 berbanding suku sebelumnya.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata ekonomi Malaysia kekal berada pada asas yang kukuh, manakala kekuatan dalam segmen eksport utama dijangka terus menyokong pertumbuhan eksport meskipun ketidaktentuan luaran meningkat.
BNM mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4% hingga 5% bagi 2026, manakala inflasi utama dijangka kekal sederhana dalam julat 1.5% hingga 2.5%.
Dari sudut permintaan, penggunaan swasta yang menjadi pemacu utama ekonomi meningkat 4.8% pada 2Q26, manakala pelaburan swasta berkembang 4.3%.
Penggunaan awam pula meningkat 7.6% tahun ke tahun, sementara pelaburan awam berkembang 6.3%.
Eksport bersih melonjak 169% apabila pertumbuhan penghantaran keluar negara mengatasi pertumbuhan import.
Dari segi sektor, aktiviti pembuatan berkembang lebih pantas sebanyak 7.3% pada 2Q26, disokong terutamanya permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E).
Sektor perkhidmatan pula berkembang 5.9%, dipacu prestasi kukuh perdagangan borong dan runcit.
Sementara itu, sektor perlombongan kembali mencatat pertumbuhan 9.2% selepas menguncup pada suku pertama, apabila peningkatan pengeluaran gas asli mengimbangi penurunan pengeluaran minyak mentah.
Pertumbuhan sektor pembinaan bagaimanapun sederhana kepada 6.5%, manakala sektor pertanian menguncup 3.7% susulan penurunan hasil minyak sawit berbanding prestasi kukuh pada 2025.
Prestasi suku kedua itu menunjukkan daya tahan ekonomi domestik ketika Malaysia berdepan persekitaran luaran yang lebih mencabar, termasuk turun naik harga tenaga dan ketegangan geopolitik.
Sebelum pengumuman rasmi KDNK 2Q26, tinjauan Reuters terhadap 21 ahli ekonomi mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 5.8%, dengan eksport dan permintaan domestik berdaya tahan menjadi antara pemacu utama. (Reuters)
Dengan pertumbuhan 6.0% pada separuh pertama tahun ini, tumpuan pasaran kini beralih kepada keupayaan ekonomi Malaysia mengekalkan momentum pada separuh kedua 2026 bagi mencapai sasaran pertumbuhan tahunan BNM antara 4% hingga 5%. - DagangNews.com




