Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga

Business & Finance
16 Oct 2026 • 2:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 berbanding 6.0 peratus pada suku kedua, didorong prestasi positif hampir semua sektor ekonomi kecuali perlombongan dan pengkuarian.

Menurut Anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Awalan Suku Tahun Ketiga 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM), pertumbuhan ekonomi bagi tempoh Januari hingga September tahun ini mencapai 5.5 peratus, mengatasi 4.8 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan berkembang 5.4 peratus berbanding 5.9 peratus pada suku kedua.

“Prestasi itu disokong subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta kewangan dan insurans.

“Sektor pembuatan pula mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 7.5 peratus berbanding 7.3 peratus pada suku sebelumnya, didorong industri berorientasikan eksport, khususnya produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik,” demikian menurut kenyataan.

Sementara itu, laporan menyatakan, sektor pembinaan berkembang 6.0 peratus berbanding 6.5 peratus pada suku kedua, disokong aktiviti pembinaan bangunan bukan kediaman, terutama projek pusat data, serta aktiviti pembinaan pertukangan khas.

Sektor pertanian turut menunjukkan pemulihan apabila mencatatkan pertumbuhan 1.3 peratus selepas menguncup 3.7 peratus pada suku sebelumnya.

Pemulihan itu didorong prestasi subsektor kelapa sawit dan ternakan.

Bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup 4.9 peratus pada suku ketiga berbanding pertumbuhan 9.2 peratus pada suku kedua, terutama akibat penyusutan dalam subsektor minyak mentah dan kondensat. – UTUSAN

The post Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved