UMW Toyota Motor jual lebih 60,800 kenderaan dari Januari hingga September 2026

LocalCars
15 Oct 2026 • 4:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UMW Toyota Motor jual lebih 60,800 kenderaan dari Januari hingga September 2026 Image from: UMW Toyota Motor jual lebih 60,800 kenderaan dari Januari hingga September 2026 amree15/10/2026 - 16:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt — UMW Toyota Motor (UMWT) merekodkan jualan lebih 24,500 unit kenderaan pada suku ketiga 2026, menjadikan jumlah jualan terkumpul sejak awal tahun hingga September 2026 mencecah lebih 60,800 unit.

 

Menurut kenyataan kumpulan automotif tersebut, prestasi itu disokong usaha syarikat memperkukuh pengalaman pemilikan Toyota menerusi kemudahan digital, tempahan servis lebih mudah dan akses mobiliti elektrik yang lebih luas.

 

Dalam menghadapi perubahan pasaran automotif Malaysia termasuk peningkatan minat ke atas kenderaan elektrik (EV) serta jangkaan pelanggan yang semakin tinggi, UMWT memberi tumpuan kepada nilai perkhidmatan selepas pembelian kenderaan.

 

"Antara perancangan utamanya ialah memperluas akses pengecasan EV di lokasi Toyota dan Lexus di seluruh negara, dengan 42 alat pengecasan awam di 21 lokasi dijadualkan dilaksanakan secara berperingkat pada separuh pertama 2027," kata UMWT.

 

Toyota_DagangNews2026

 

Presidennya, Datuk Ravindran K berkata, prestasi suku ketiga mencerminkan kepercayaan secara berterusan rakyat Malaysia terhadap jenama Toyota, selain kekuatan pengalaman pemilikan yang dibina syarikat selama ini.

 

Menurut beliau, kumpulan itu akan terus menumpukan kepada kebolehpercayaan, kemudahan dan keyakinan pelanggan bagi memastikan nilai pemilikan Toyota berterusan selepas pembelian.

 

Bagi meningkatkan penglibatan digital, kempen aplikasi Toyota MY disambung semula dari 14 September hingga 31 Disember 2026 untuk menggalakkan penggunaan aplikasi serta tempahan servis.

 

"Pelanggan akan menerima 500 mata Loyal-T selepas mendaftar, selain 500 mata bagi setiap tempahan servis yang dibuat menerusi aplikasi apabila menghantar kenderaan untuk diselenggara. Tawaran itu terbuka kepada pengguna baharu dan sedia ada," katanya.

 

Ujar beliau, dalam usaha memperluas kemudahan pengecasan EV, UMWT bekerjasama dengan chargEV dan JomCharge bagi menyediakan akses pengecasan awam di lokasi Toyota dan Lexus yang terpilih.

 

Toyota_DagangNews2026
RAVINDRAN K

 

Daripada keseluruhan 42 alat pengecasan yang dirancang, sebanyak 38 akan melibatkan 19 lokasi di bawah chargEV, manakala empat titik lagi di dua lokasi JomCharge.

 

UMWT memaklumkan tujuh lokasi sudah siap setakat ini, manakala baki dilaksanakan berperingkat. Kemudahan tersebut terbuka kepada semua EV, dengan lokasi pengecasan boleh dikenal pasti menerusi aplikasi penyedia masing-masing.

 

"Inisiatif digital dan peluasan akses pengecasan itu mencerminkan usaha berterusan untuk menambah baik pengalaman pelanggan, daripada urusan tempahan servis hingga kemudahan mobiliti harian," tambah beliau.

 

Maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan Toyota boleh didapati di laman web rasmi Toyota Malaysia atau di pengedar sah Toyota seluruh negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved