liza16/10/2026 - 12:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt – Westports Holdings Bhd berpotensi mencatat keputusan kewangan suku ketiga tahun kewangan 2026 lebih baik daripada jangkaan pasaran disokong peningkatan kendalian kontena dan hasil perkhidmatan tambah nilai (VAS), menurut penganalisis.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata keuntungan teras Westports berjumlah RM682 juta bagi separuh pertama FY2026 bersamaan 54% daripada anggaran konsensus pasaran sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan semakan naik unjuran keuntungan.
Keputusan suku ketiga FY2026 Westports dijadual diumumkan pada 21 Oktober 2026.
Maybank IB menjangkakan pertumbuhan kendalian kontena meningkat pada separuh kedua FY2026 berbanding separuh pertama, disokong pemulihan operasi selepas gangguan kesesakan pada suku pertama serta permintaan bermusim yang lebih tinggi menjelang musim membeli-belah hujung tahun.
Firma itu berkata kendalian kontena Westports meningkat kira-kira 8% tahun ke tahun pada Julai, manakala jumlah kendalian kekal tinggi pada Ogos dan awal September.
Maybank IB jangka keuntungan mengatasi konsensus
“Penggunaan kawasan kontena turut meningkat kepada 90% pada suku ketiga berbanding 75% hingga 80% pada separuh pertama FY2026. Keadaan itu masih terkawal dan dijangka menyokong hasil VAS serta hasil bagi setiap kontena,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan jumlah kendalian kontena sebanyak 2% tahun ke tahun bagi FY2026, berbanding penurunan 1% pada separuh pertama. Kos bahan api pula dijangka hampir tidak berubah berbanding suku sebelumnya yang membantu menyokong keuntungan pada separuh kedua.
Maybank IB turut menjangkakan kenaikan tarif tambahan sebanyak 5% pada Januari 2027, bersama pelarasan tarif pemindahan kontena melalui pembaharuan kontrak pelanggan, menyokong pertumbuhan hasil bagi setiap kontena.
Bagaimanapun, peningkatan kos buruh dan susut nilai apabila Terminal Kontena 10 (CT10) mula beroperasi berpotensi mengehadkan pertumbuhan keuntungan pada FY2028.
HLIB jangka pemulihan kendalian kontena berterusan
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan kendalian kontena Westports pulih pada separuh kedua 2026 apabila lebih banyak kapal kembali beroperasi susulan konflik Iran dan syarikat perkapalan menyesuaikan laluan serta jadual mereka.
HLIB berkata Westports mengekalkan sasaran pertumbuhan kendalian kontena setahun pada kadar satu digit rendah, meskipun jumlah kendalian merosot 1% tahun ke tahun pada separuh pertama 2026.
“Pemulihan kendalian kontena dijangka mengimbangi penyederhanaan hasil VAS. Sumbangan VAS mencatat paras tertinggi sebanyak 30.7% daripada hasil kontena pada suku kedua 2026, disokong peningkatan jumlah kontena yang disimpan dan kenaikan tarif pada Januari.
“Tahap penggunaan kawasan kontena sekitar 70% hingga 80% juga membolehkan Westports menerima tambahan kendalian pemindahan kontena dengan lebih banyak,” katanya.
Dari segi kos, HLIB menjangkakan perbelanjaan operasi kekal stabil berbanding suku kedua, manakala kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 pada Jun 2027 dijangka dapat diuruskan kerana gaji minimum semasa kakitangan Westports sudah mencapai RM1,900.
Bagi pengembangan jangka panjang, kerja pengorekan dan penambakan tanah untuk projek CT10 hingga CT13 telah mencapai kira-kira 70% penyelesaian. Perbelanjaan modal diunjurkan RM700 juta pada 2026 sebelum meningkat kepada RM1.1 bilion hingga RM1.4 bilion pada 2027 dan 2028.
HLIB mengekalkan saranan “Beli” terhadap Westports dengan harga sasaran RM7.15, selain melihat potensi semakan naik unjuran keuntungan memandangkan keputusan separuh pertama telah mencapai 51.7% daripada anggaran keuntungan setahun. - DagangNews.com





