Eksekutif Akaun Didakwa Tunjuk Isyarat Lucah, Halang Polis Pengiring TPM Fadillah

13 Feb 2025 • 7:19 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Walau bagaimanapun, individu terbabit mengaku tidak bersalah

Eksekutif Akaun Didakwa Tunjuk Isyarat Lucah, Halang Polis Pengiring TPM Fadillah. Seorang eksekutif akaun syarikat pengiklanan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan membuat isyarat lucah dan menghalang tugas polis dengan memotong kenderaan pengiring Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof minggu lalu.

Joshua Chong Tien Kit, 28, mengaku tidak bersalah selepas didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini di hadapan Majistret S Mageswary dan Majistret Aina Azahra Arifin.

image is not available
Eksekutif Akaun Didakwa Tunjuk Isyarat Lucah, Halang Polis Pengiring TPM Fadillah. Kredit foto: The Malaysian Post

Bagi pertuduhan pertama, Joshua didakwa menghalang tugas empat anggota polis – Sarjan Mohd Faiz, Sarjan Mejar Francis, Koperal Fazlil dan Koperal Timotius – dengan memintas kenderaan pengiring TPM di sebuah simpang di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada jam 2 petang, 8 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengangkat jari tengah adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan

Pertuduhan kedua melibatkan tindakan menunjukkan isyarat lucah dengan mengangkat jari tengah di lokasi, tarikh, dan waktu yang sama. Tuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Pegawai pendakwa, Inspektor Muhammad Faiz Abu Samah, dan timbalan pendakwa raya, Hench Goh, mencadangkan jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Joshua, Rajsurian Pillai, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih bujang, bukan risiko melarikan diri dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Mangsa dalam kes ini adalah anggota polis yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Tidak mungkin tertuduh akan mengganggu saksi atau mangsa,” katanya.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,900 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April untuk sebutan kes.

Lagi bacaan menarik di sini