Eksekutif Jualan Maut Kemalangan Dalam Perjalanan Ke Himpunan RXZ

LocalCars
22 Aug 2025 • 8:01 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

BERA – Seorang eksekutif jualan maut selepas motosikal Yamaha RXZ ditungganginya terbabas di Jalan Palong 8, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Mohd Syukri Shahrudin, 33, dari Taman Sedia Raja, Chembong, Rembau, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan tangan.

kemalangan ketika sertai konvoi

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ bersama konvoi lebih 60 motosikal.

“Siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga namun terus bergerak lurus sebelum melanggar tebing bahu jalan.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

keadaan jalan baik

Menurut beliau, keadaan jalan di lokasi lurus, dua hala, berturap baik, permukaan rata, kering serta pencahayaan jelas pada waktu siang.

Mangsa difahamkan berada di barisan hadapan konvoi berkenaan sebelum terbabit kemalangan.

siasatan lanjut

“Tiada saman trafik direkodkan terhadap mangsa, manakala motosikal terbabit akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – The Malaysian Update

The post Eksekutif Jualan Maut Kemalangan Dalam Perjalanan Ke Himpunan RXZ appeared first on The Malaysian Update.