Konvoi Bertukar Tragedi, Seorang Lelaki Terbabas Dalam Perjalanan Ke Himpunan RXZ Members 7.0

Entertainment
22 Aug 2025 • 4:07 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Konvoi sekumpulan motosikal bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut ketika dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 yang akan berlangsung di Terengganu, esok.

Mangsa merupakan seorang eksekutif jualan, Mohd Syukri Shahrudin, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kejadian berlaku jam 6.30 pagi tadi ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Rembau menuju ke Terengganu.

image is not available

“Siasatan awal mendapati, mangsa sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga, namun terus bergerak lurus sebelum melanggar tebing bahu jalan.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggang,” katanya.

Beliau berkata, keadaan jalan di lokasi berkenaan berturap baik, permukaan rata, kering serta pencahayaan jelas pada waktu siang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berkonvoi bersama kira-kira 60 motosikal lain dan antara peserta terawal yang berada di hadapan kumpulan itu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bera untuk bedah siasat manakala motosikalnya akan menjalani pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

2 lagi kemalangan maut

Dalam perkembangan lain, dimaklumkan terdapat dua lagi kemalangan maut membabitkan peserta RXZ berlaku pada tengah hari tadi di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi dan Ajil Hulu Terengganu.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.