
GERIK – Eksesais Land Thamal Siri 29/2026 yang berlangsung di sini, melibatkan Tentera Darat (TDM) dan Tentera Darat Diraja Thailand (RTA) sejak 5 Ogos lalu, melabuhkan tirainya hari ini.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataannya berkata, eksesais tersebut menyaksikan pelaksanaan latihan yang merangkumi aspek taktikal, kerjasama ketenteraan dan hubungan bersama komuniti setempat.
“Land Thamal merupakan eksesais bilateral tahunan antara TDM dan RTA yang dilaksanakan secara penggiliran antara kedua-dua negara di bawah kerangka kerjasama Jawatankuasa Sempadan Am.
“Bagi Siri 29/2026, Malaysia bertindak sebagai tuan rumah dengan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (4 RS) sebagai pasukan penganjur dan pelaku utama,” katanya di sini hari ini.
Eksesais Land Thamal Siri 29/2026 secara rasminya dibuka pada 5 Ogos lalu menerusi Majlis Perasmian Pembukaan di Airstrip Gerik yang disempurnakan bersama oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Zaini Hashim dan Komander Briged Infantri Ke-5, Senior Colonel Taweeporn Kanatong.
Dalam majlis tersebut, Kanatong menegaskan bahawa Land Thamal bukan sahaja berperanan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Thailand, malah meningkatkan keupayaan kedua-dua negara menghadapi pelbagai cabaran.
Ia termasuk bencana alam, ancaman keselamatan, konflik serta isu keselamatan serantau menerusi kerjasama erat dan tahap persefahaman yang tinggi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia berkata, sepanjang pelaksanaannya, eksesais itu memberi penekanan kepada usaha melatih dan meningkatkan pengetahuan serta perkongsian keupayaan taktikal.
Katanya, ia dicapai melalui pertukaran idea dan pengalaman, memperkukuh kerjasama serta kefahaman terhadap prosedur taktikal dan mengeratkan hubungan kerja melalui semangat kerjasama serta komunikasi antara kedua-dua angkatan.
“Land Thamal Siri 29/2026 dilaksanakan menerusi tiga fasa utama iaitu Latihan Silang, Latihan Lapangan dan Tindakan Bersama Ketenteraan-Sivil (CMCA).
“Pelaksanaan latihan medan memberi pendedahan kepada anggota kedua-dua negara dalam pelbagai aspek taktikal termasuk prosedur tempur, merentas halangan, berpangkalan, rondaan, serang hendap serta serangan ke atas kem musuh,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya, pelaksanaan CMCA menerusi Program Jiwa Murni menyerlahkan dimensi hubungan tentera dengan masyarakat apabila anggota kedua-dua negara berganding bahu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, di sini.
Eksesais kali ini menghimpunkan 252 pegawai dan anggota yang terdiri daripada 197 warga TDM dan 55 dari RTA, sekali gus menyediakan ruang kepada kedua-dua angkatan untuk meningkatkan tahap interoperabiliti, berkongsi pengetahuan serta pengalaman dan memperkukuh kefahaman terhadap prosedur taktikal bersama.
Kemuncak eksesais pada hari ini menyaksikan pelaksanaan serangan akhir kem musuh di kawasan latihan Kampung Ayer Ganda, Gerik yang turut disaksikan oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan bersama Komander Divisyen Infantri Ke-5 RTA, Mejar Jeneral Aphinan Jamjang. – KOSMO! ONLINE
The post Eksesais Land Thamal perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Thailand appeared first on Kosmo Digital.





