TDM tegaskan bekas anggota tidak lagi berkhidmat, dakwaan tular tidak berasas

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 9:20 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kenyataan media Tentera Darat Malaysia mengenai status pemberhentian bekas anggota

Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa bekas anggotanya, Staf Sarjan Vegeneswaran a/l Kaneson, masih berstatus sebagai anggota yang sedang berkhidmat dan menegaskan semua tindakan terhadap individu berkenaan dibuat mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Dalam satu kenyataan media, TDM memaklumkan dakwaan yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok Nambikkai pada 23 Julai lalu itu tidak berasas. Menurut TDM, keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2023 hanya membatalkan tindakan pemberhentian terdahulu atas isu prosedur dan tidak membatalkan sabitan tatatertib terhadap bekas anggota tersebut.

Jelas TDM, bekas anggota berkenaan sebelum ini didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine menerusi ujian saringan yang disahkan oleh Jabatan Patologi Hospital Kepala Batas.

Susulan keputusan mahkamah itu, TDM memaklumkan pihaknya telah menamatkan perkhidmatan beliau secara biasa mengikut Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap) 2013 selepas melengkapkan tempoh perkhidmatan penuh selama 18 tahun.

Menurut kenyataan itu lagi, semua tunggakan gaji, elaun dan faedah yang layak telah dibayar serta diterima oleh bekas anggota berkenaan tanpa sebarang bantahan atau pertikaian ketika proses tersebut diselesaikan.

TDM turut menafikan dakwaan bahawa individu terbabit masih berstatus anggota Tentera Darat hanya kerana masih memiliki kad MyTentera. Tegasnya, status seseorang anggota ditentukan berdasarkan undang-undang dan rekod perkhidmatan, bukannya pemilikan kad pengenalan tentera.

Baca juga:
https://www.tiktok.com/@nambikkaimalaysia/video/7665666526887873813?is_from_webapp=1&sender_device=pc
TDM ingatkan larangan mengemukakan diri sebagai anggota aktif

Menurut TDM, kad MyTentera berkenaan masih berada dalam simpanan bekas anggota itu kerana urusan dokumentasi pemberhentian belum disempurnakan olehnya.

Dalam masa sama, TDM mengingatkan bahawa mana-mana bekas anggota yang telah ditamatkan perkhidmatannya tidak lagi berhak mengemukakan diri sebagai anggota Tentera Darat.

“Sebarang penggunaan kad MyTentera atau pemakaian pakaian seragam tentera bagi menggambarkan seseorang masih berstatus anggota yang sedang berkhidmat boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan tertakluk kepada siasatan serta tindakan undang-undang,” katanya.

TDM turut menegaskan pihaknya sentiasa menghormati setiap keputusan mahkamah dan melaksanakan semua tindakan mengikut lunas undang-undang. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej dan reputasi Angkatan Tentera Malaysia.

The post TDM tegaskan bekas anggota tidak lagi berkhidmat, dakwaan tular tidak berasas appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved