November 2023 lalu, kami pernah melaporkan dimana Google sedang bereksperimen dengan carian sosial melalui ciri “Notes”. Walau bagaimanapun, Google kini mengesahkan bahawa pihak mereka akan menamatkan eksperimen tersebut pada penghujung bulan ini.
‘Notes’ ialah satu fungsi yang membolehkan carian sosial dibuat di Google dengan membolehkan orang ramai berkongsi mengenai sebarang maklumat disamping melihat pandangan orang ramai berkenaan sesuatu halaman web dan memudahkan pengguna untuk mendapatkan konteks kandungan yang dikongsikan. Antara mukanya pula seakan Stories yang membolehkan pengguna untuk menambah dan mengubah teks, gambar atau pelekat.

Setelah beberapa bulan ciri ini dilancarkan sebagai eksperimen, ia mungkin tidak mendapat sambutan daripada ramai pengguna sekaligus mendorong eksperimen terhadap ciri ini tidak lagi diteruskan. Namun, jurucakap Google menyatakan bahwa pihak mereka akan terus menguji dan bereksperimen tentang ciri yang dirasakan dapat membantu menghubungkan ramai orang disamping mengambil kira maklum balas daripada eksperimen “Notes” untuk menghasilkan ciri baru yang lebih baik pada masa akan datang. Bagi pengguna yang pernah menggunakan ciri, mereka boleh memuat turun perkongsian ‘notes’ mereka sehingga hujung bulan Ogos ini menggunakan Google Takeout.
