SHAH ALAM – Penjenayah seksual yang diberkas Sabtu lalu selepas dipercayai mengurung, mengikat dan meliwat remaja lelaki berusia 14 tahun di Seksyen 32, di sini akan dituduh dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya telah menerima arahan pertuduhan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, pertuduhan terhadap suspek yang bekerja sebagai pemungut hutang itu akan dilakukan secepat mungkin.
"Saya dimaklumkan arahan pertuduhan telah diberikan oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan akan dibuat dalam kadar segera.
"Apabila pertuduhan dibuat, kita akan maklumkan kepada rakan media untuk mendapatkan maklumat lanjut di mahkamah berkaitan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Kurung, ikat, liwat remaja: Penjenayah seksual sambung reman 5 hari
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.
Terdahulu, suspek telah ditahan di sebuah bilik sewa di Kuala Lumpur sebelum direman tiga hari sehingga Selasa sebelum perintah reman itu dilanjutkan lima hari lagi.
Suspek yang dipercayai bekerja sebagai pemungut hutang itu mempunyai rekod baharu keluar penjara pada April tahun lalu.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dikurung, didera termasuk dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, di sini pada 12 Mei lalu.
Siasatan awal polis mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sambil menawarkan satu pakej internet telefon bimbit dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang di rumah suspek.






